Kategori Berita Utama

Anggap Najib sahabat, Trump puji usaha PM bendung keganasan

13 SEPT: Disebalik pelbagai dakwaan pihak tertentu mengenai hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia, Presiden Donald Trump memberi sambutan penuh mesra ketika  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Rumah Putih.

Beliau menunggu ketibaan Najib di pintu masuk West Wing, Rumah Putih, dilihat bersalaman erat beberapa ketika dan saling tersenyum.

Trump turut memberi peluang kepada kru media merakam detik bersejarah sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-AS itu.

Dalam ucapan pembukaan mesyuarat delegasi di Cabinet Room, Trump kelihatan amat ceria dan bersemangat mengalu-alukan Najib yang disifatkan sahabatnya.

“Saya hanya mahu berkata, ia satu penghormatan untuk menerima delegasi anda bersama kami.

“Terima kasih kepada delegasi dan saya menghargai kehadiran semua yang hadir. Tuan Perdana Menteri, saya sangat berbesar hati untuk menerima anda di Amerika Syarikat dan Rumah Putih,” katanya.

Beliau juga berharap dapat bersama sekali lagi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, minggu depan.

Trump juga mengucapkan terima kasih kepada pelaburan besar Malaysia di AS.

Presiden AS itu turut memuji dan menghargai peranan Najib membantu membendung ancaman Daesh dan pergerakan lain.

“Beliau (Najib) sangat tegas menentang keganasan di Malaysia dan sangat kuat dengan pendirian itu. Ini amat penting kepada AS,” katanya.

Pemimpin Malaysia itu, katanya, telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kumpulan keganasan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

“Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan ISIS atau anda gelar Daesh dan lain-lainnya untuk wujud.

“Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan penyokong kuat bagi pendirian itu,” katanya.

Najib pula memberitahu Trump, AS telah menjadi rakan kongsi sejak sekian lama dan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini, ia diharap akan lebih kukuh pada masa depan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas jemputan Trump dan membawa beberapa cadangan bernilai untuk dibincangkan.

Ia termasuk meningkatkan pelaburan di AS serta kerjasama ekonomi untuk manfaat bersama.

Selepas berakhir kunjungan, Trump mengiringi Najib hingga ke muka pintu untuk mengucapkan selamat jalan, luar daripada kelaziman beliau hanya menghantar pemimpin yang melawat pejabatnya sehingga ke lantai utama sahaja.

Seorang pegawai mengingatkannya mengenai perkara itu, tetapi beliau maklumkan akan mengiringi Najib hingga ke tingkat bawah.

“Beliau (Najib) sahabat saya,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 13 September 2017 8:47 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]