Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Anggota bomba dibenar undi melalui pos

17 NOV: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertugas ketika pilihan raya umum (PRU) kini dibenarkan untuk membuang undi melalui pos.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah meluluskan perkara itu pada 23 Oktober lalu selepas pihaknya menghantar permohonan rasmi pada pertengahan tahun ini.

“Sepanjang musim pilihan raya, anggota kita turut terbabit sama, terutama di pusat pengiraan undi seluruh negara, untuk menjaga keselamatan selain bersiap sedia sekiranya berlaku kebakaran.

“Oleh itu, kebenaran membuang undi secara pos ini hanya diberikan kepada pegawai dan anggota bomba yang berkhidmat tanpa mengira waktu ketika pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Bulan November 2017 hari ini.

Hadir sama, Penolong Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Rusmani Muhammad dan Penolong Ketua Pengarah Bahagian Udara JBPM, Mohd Yunos Abu Hassan.

Wan Mohd Nor berkata, anggota yang bertugas dibenarkan membuang undi secara pos mengikut kaedah yang ditetapkan melalui pengisian borang yang diberikan oleh SPR memandangkan mereka sering bertugas di merata tempat dan kebiasaannya mengambil masa yang lama untuk balik semula ke kawasan masing-masing.

“Malah, hari pengundian ketika pilihan raya adalah waktu yang paling kritikal kerana anggota bomba yang bertugas perlu menjaga pelbagai aspek keselamatan dan tidak boleh meninggalkan tempat pengiraan undi.

“Cuti anggota bomba juga dibekukan seminggu sebelum dan selepas pilihan raya. Jadi, kebenaran membuang undi pos ini adalah satu perkembangan baik bagi membolehkan mereka menjalankan tugas anggota keselamatan dan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi membolehkan salah seorang anggotanya, Shazlan Mohd Hanafiah, 32, mengikuti temu duga kenaikan pangkat pada tarikh lain.

“Kami difahamkan, Shazlan sepatutnya menghadiri temu duga penolong penguatkuasa secara lantikan daripada KB19 kepada KB29 bulan ini, namun beliau tidak dapat hadir sesi itu kerana terbabit kemalangan ketika memadamkan kebakaran sebuah tangki habuk kayu yang meletup pada 11 November lalu.

“Permohonan sudah dibuat dan SPA memberi maklum balas yang baik serta bersetuju mengadakan sesi temu duga di hospital dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam kejadian di sebuah kilang memproses papan di Kawasan Perindustrian IGB, Tasek itu, Shazlan melecur 10 peratus termasuk di bahagian leher, bahu dan muka sehingga dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selain rakan sekerjanya, Mohd Azri Aziz, 30, turut cedera di bahagian leher dan bawah dagu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 November 2017 3:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: