Kategori Berita Utama

Apa mesej Hadi masih tutup mulut pasal Anwar bertanding

3 FEB : Sudah seminggu sejak PKR umum ‘perang taktikal’ atau ‘strategi PRK Kajang’, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih membisu walaupun tindakan PKR itu disambut pro dan kontra oleh sesetengah pemimpin parti PAS.

Apakah dengan berdiam diri, Hadi sebenarnya menghantar mesej bahawa PAS cukup tersinggung dengan tindak tanduk Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chen Cheh supaya Anwar sendiri boleh bertanding?

Reaksi Hadi kini cukup dinanti-nanti bukan sahaja oleh PKR dan DAP malah dikalangan pemimpin PAS yang ada menampakkan sebahagian mereka berbelah bagi untuk menerima logiknya strategi PRK Kajang yang diatur Anwar.

Walaupun Salehuddin Ayob dan Dr Hatta Ramli hadir ketika Anwar diumumkan akan bertanding di kerusi DUN Kajang, maklumat dalaman PAS mendapat pengesahan bahawa Naib Presiden dan Pengarah Pilihan raya PAS itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu perancangaan PKRtersebut.

Malah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga seperti digambarkan anaknya Guan Eng, tidak diberitahu Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengumumkan Ketua Pembangkang itu akan bertanding di DUN Kajang.

hadianwar

Sudah masanya Hadi tegaskan PAS harus jadi imam dalam pakatan rakyat khususnya di Selangor

Itulah kelebihan Anwar pada sidang media di pejabat PKR pada hari berkenaan dengan memberi gambaran bahawa strategi PRK Kajang mendapat sokongan PAS dan DAP.

Setakat ini, hanya pemimpin PAS dalam kumpulan Anwarinas menyokong rancangan Anwar termasuk peletakan jawatan Lee.

Bagaimanapun suara yang menentang lebih kuat membabitkan Dewan Ulama, Pemuda dan PAS Selangor sendiri yang rata-rata tidak puashati dengan percaturan politik PKR di Selangor.

Mereka kesal dan kecewa kerana rancangan PKR itu tidak dimaklumkan kepada PAS.

Tentu paling mengecewakan PAS jika rancangan itu adalah untuk memberi laluan kepada Anwar dilantik Menteri Besar menggantikan Khalid.

Sebab itu, Pemuda PAS merancang memboikot kempen PRK DUN Kajang jika Anwar gagal memberi alasan kukuh parti pimpinan Datuk Seri Wan Azizah Ismail itu berbuat demikian.

Malah, PAS turut memberi amaran bahawa parti itu akan mencalonkan beberapa nama termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad jika isu menukar Menteri Besar dibangkitkan kelak.

Perkembangan ini, nyata mula merimaskan PKR Selangor apabila Pengerusinya Azmin Ali terpaksa berjumpa Iskandar kononnya bagi berbincang berkaitan pilihan raya kecil di Kajang.

Bagaimanapun, dengan Anwar, Khalid, Azmin serta Pengarah Strategi Rafizi Ramli yang  memberi gambaran berbeza mengenai ‘perang taktikal’ itu, pimpinan PAS semakin tegar mengkritik PKR.

Terbaru, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Zaharuddin Mohamad menegur kepimpinan PKR agar tidak terlalu ghairah dalam mengeluarkan kenyataan berhubung kekosongan kerusi DUN Kajang.

Katanya, ini kerana bagi mengelak ‘senjata makan tuan’.

Menurutnya, segelintir pemimpin pakatan pembangkang termasuk Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli terlalu ghairah membuat kenyataan.

Beliau juga turut mengingatkan rakan sekutunya itu untuk tidak mengheret PAS terlalu jauh dalam politik berkenaan.

“Saya meneliti ucapan dan tulisan Rafizimengenai isu Kajang. Saya nak komen sedikit sahaja, jangan banyak ‘berstatement’ dalam berpolitik dalam isu Kajang takut nanti ‘senjata makan tuan’.

“Kami (PAS) mengamalkan politik telus bila berdepan dengan rakyat. Jangan jadikan kami serba salah antara menjaga amanah ketelusan kepada rakyat atau menjaga rakan Pakatan,” tegas Zaharuddin melalui laman sosial Facebooknya.

Kritikan demi kritikan daripada pemimpin PAS nampaknya semakin sukar dibendung oleh kumpulan Anwarinas yang tegar menyokong Anwar.

PKR mungkin bernasib baik kerana DAP tidak banyak bersuara dalam isu tersebut.

Menjelang pengumuman tarikh PRK Kajang oleh SPR Khamis ini, tentu ramai tertunggu-tunggu apakah pandangan Hadi dalam perkara ini.

Sebelum ini, Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz sudah memberikan pandangannya sehari selepas keputusan mencalonkan Anwar bertanding.

Beliau yang turut kesal kerana tidak dimaklumkan oleh PKR mengenai strategi PRK Kajang, menyerahkan kepada Hadi menyatakan pendirian PAS terhadap apa yang dilakukan PKR yang cuba menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.

Harap Hadi menyedari keluh resah pemimpin dan ahli-ahli PAS dalam hal ini dan Ahli Parlimen Marang itu juga kena sedar PAS Selangor memiliki kerusi yang melayakkan wakil parti itu dinobat sebagai Menteri Besar.

Sudah tiba masanya PAS membuktikan parti itu bukan melukut tepi gantang atau hanya bermakna untuk membantu kempen memenangkan PKR dan DAP sahaja.

Untuk itu, Hadi tidak perlu tunggu lama-lama kerana dengan berdiam diri, seolah-olah beliau menghantar mesej tidak setuju poltik keterlaluan cara PKR ini.– bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 February 2014 1:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: