30 DIS: Walaupun mendakwa bersikap liberal serta setuju dengan kebebasan bersuara, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat akan terus mempamerkan sifat diktator dalam pimpinan pembangkang.
Pada masa sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindak-tanduk bekas presiden UMNO perlu diragui kerana terus memperjuangkan kepentingan peribadi.
“Saya keliru dengan Dr Mahathir. Apa dia nak sebenarnya?
“Beliau akan guna pendekatan serampang dua mata dengan bersama pembangkang tetapi selepas PRU, dia akan kembali pada UMNO dengan syarat tertentu. Ini perangai Tun M yang biasa,” dakwa anak bekas Setiausaha Agung UMNO itu hari ini.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian selepas menghadiri Fiesta Sukan Rakyat Parlimen Pulai di Kompleks Sukan Hospital Permai, Kempas, Johor.
Perang mulut antaar kedua-dua pemimpin itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan terdahulu, sejak Jazlan dilaporkan mendedahkan kad pengenalan Dr Mahathir kepada umum.
Nur Jazlan berkata, kepentingan Dr Mahathir sekarang hanya untuk memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dapat menduduki jawatan Perdana Menteri.
Semalam, sebuah blog kelolaan Raja Petra Kamaruddin mendakwa Dr Mahathir sedang berunding supaya anaknya, Datuk Seri Mukhriz bertanding atas tiket BN pada pilihan raya umum akan datang.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dilaporkan mendesak Dr Mahathir menjawab dakwaan berkenaan.