Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Arahan KDN kepada The Star sangat wajar

30 MEI: Arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada akhbar The Star untuk menjawab surat tunjuk sebab berhubung laporan muka depannya pada Sabtu lalu yang didakwa tidak sensitif terhadap umat Islam di negara ini adalah tepat dan relevan.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berpandangan adalah wajar bagi akhbar itu diberikan peluang untuk membela diri sebelum sesuatu tindakan diambil ke atas mereka.

Akhbar itu meletakkan tajuk muka depannya dengan judul ‘Malaysian Terrorist Leader’ dan dalam masa yang sama turut dimuatkan sekeping gambar umat Islam sedang mengerjakan solat Tarawih.

“Kita perlu teliti semula (apakah) sebab ia berlaku sehingga ke tahap itu. Surat tunjuk sebab bagi pandangan saya permintaan oleh KDN itu relevan.

“Surat tunjuk sebab bukan menghukum, cuma kita mahu tahu penjelasan supaya benda-benda seperti ini tidak diambil mudah selepas ini oleh media,” katanya kepada sebuah portal Antarapos.

Menurut KDN antara tindakan yang boleh diambil terhadap akhbar berkenaan adalah penggantungan permit penerbitan, selain tindakan-tindakan di bawah Akta Mesian Cetak dan Penerbitan (amcp) 1984.

Kementerian itu semalam memanggil wakil The Star untuk memberi keterangan berhubung kontroversi itu.

Empat wakil itu ialah tiga Pengarang Eksekutif The Star, Rozaid Abdul Rahman, Brian Martin dan N. Dorairaj serta Pengarang Pakar The Star, M.Shanmugam.

Fathul dalam pada itu memberitahu, umat Islam tidak perlu melatah tetapi menangani kontroversi itu dengan keadah berdiplomasi.

“Saya tidak mahu kita semua pakat-pakat serang The Star habis-habisan. Saya tidak maksudkan sedemikian.

“Cuma yang saya maksudkan adalah sensitiviti itu perlu diperkemaskan lagi. Cara kita susun atur gambar dan sebagainya sebab persepsi boleh timbul,” katanya.

Sebelum ini, Nanyang Siang Pau menjadi sasaran himpunan penyokong PAS apabila akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan karikatur yang menghina Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  dan Speaker Parlimen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Akhbar itu menggambarkan Hadi dan Pandikar sebagai monyet dalam usaha mengkiritk dua tokoh politik itu membawa usul pindaan Akta 355 untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 May 2017 4:21 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: