Kategori Ekonomi

Aramco potong bekalan, harga minyak bakal meningkat

10 MEI: Saudi Aramco, syarikat minyak kerajaan Arab Saudi, akan memotong bekalan minyak ke Asia sebanyak tujuh juta tong bulan depan, kata sumber yang rapat dengan perkembangan itu.

Menurut rancangan itu, Arab Saudi yang juga pengeksport minyak terbesar dunia, akan memotong bekalan sejuta tong masing-masing ke Asia Tenggara, China dan Korea, kata sumber itu yang enggan dikenali kepada Reuters.

Arab Saudi juga akan memotong bekalan kira-kira tiga juta tong ke India dan kurang daripada sejuta tong ke Jepun, tambah sumber itu.

Harga hadapan minyak meningkat hari ini selepas Reuters melaporkan berita itu, semasa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) cuba menangani kenaikan output Amerika Syarikat (AS) yang mengancam menggagalkan cubaan untuk mengakhiri lambakan minyak mentah global.

Harga minyak juga disokong oleh penurunan luar jangkaan simpanan minyak mentah AS minggu lalu, yang susut 5.8 juta tong berbanding jangkaan penganalisis penurunan 1.8 juta tong, demikian menurut kumpulan industri, Institut Petroleum Amerika.

Niaga hadapan penanda aras global, Brent meningkat 19 cents, atau 0.4 peratus kepada AS$48.92 pada 0612 GMT.

Ia susut 1.2 peratus, semalam. Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula meningkat 23 cents, atau 0.5 peratus kepada AS$46.11 setong.

“Pasaran Arab Saudi amat bergantung kepada pelanggan di Asia. Justeru, jika mereka mengurangkan jualan, maka ia menyokong margin,” kata Ketua Penganalisis Pasaran CMC Markets di Sydney, Ric Spooner.

WTI juga jatuh 1.2 peratus dalam sesi sebelumnya dan harga penutup bagi kedua-dua kontrak adalah yang kedua terendah sejak 29 November lalu, sehari sebelum OPEC bersetuju mengurangkan pengeluaran pada separuh pertama tahun ini.

Harga minyak melonjak serta merta selepas perjanjian dicapai, namun berada di bawah tekanan beberapa minggu kebelakangan ini apabila pengeluaran di AS meningkat dan menyekat kemungkinan pasaran minyak akan mencapai keseimbangan.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih, Isnin lalu berkata beliau menjangkakan perjanjian pengeluaran akan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini atau mungkin lebih lama lagi. OPEC akan bermesyuarat akhir bulan ini.

Pengeluaran minyak mentah lebih tinggi dari AS akan mengehadkan sebarang kenaikan harga minyak global sehingga penghujung 2018, kata kerajaan AS.

Pengeluaran minyak AS dijangka meningkat lebih tinggi berbanding jangkaan sebelumnya tahun ini kepada 9.31 juta tong sehari berbanding 8.87 juta tong sehari pada 2016, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 May 2017 5:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: