Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Atas faktor keagamaan, Mufti WP tak bersalah- JPJ

27 MEI: Tindakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar pada Jumaat tidak salah atas faktor keagamaan.

Jelas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron mengikut Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975 di mana kelonggaran diberikan kepada mereka yang memakai serban seperti haji, lebai dan kaum Sikh.

Sehubungan itu katanya Mufti WP tidak perlu memohon maaf.

“Tidak timbul isu minta maaf sebab dia tak salah pun.

“Selagi ia dibenarkan maka bukan menjadi isu. Tiada masalah bagi mereka (memakai serban) untuk tidak memakai topi keledar, sekiranya ada kaitan dengan kepercayaan dan keagamaan.

“Kalau nak pakai topi keledar dan nak buka (serban), terpulang kepada kesedaran masing-masing sekiranya merasakan pemakaian topi keledar itu lebih selamat,” katanya seperti dilaporkan mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan maaf Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di atas tindakannya membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar pada Jumaat.

Terdahulu, Zulkifli menerusi kenyataan di Facebooknya menjelaskan, insiden itu berlaku kerana beliau terlibat dalam program cerapan anak bulan Ramadan di Menara Kuala Lumpur pada Jumaat petang.

“Mungkin ada yang ternampak kami membonceng motosikal tanpa memakai helmet sebentar tadi.

“Memandangkan jalan raya agak sesak dan tidak mahu menyusahkan penganjur dan kelancaran majlis dek terperangkap dalam jalan raya, keputusan diambil untuk membonceng motosikal ini,” katanya yang mengenakan serban di kepalanya.

Zulkifli turut memuat naik gambar dari arah belakang yang menunjukkan beliau membonceng motosikal, dipercayai dirakamkan oleh orang awam.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas tindakan tidak memakai topi keledar.

Dalam pada itu, Nadzri mengagumi Mufti Wilayah Persekutuan di atas kesedarannya yang prihatin tentang keselamatan sebagai pengguna jalan raya, dan seharusnya wajar dicontohi orang ramai.

“Baguslah di atas kesedarannya,” kata Nazdri, bagamanapun menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan serban semata-mata tidak mahu memakai topi keledar.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 May 2017 12:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: