Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

AWAS mula tunjuk kesan, pemandu perlahan kenderaan

18 APRIL: Penguatkuasaan denda mata demerit di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang bermula 15 April lalu, mula menampakkan impak positif.

Ini diketahui apabila pemandu didapati mengurangkan kelajuan kenderaan mereka.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian berpuas hati dengan perkembangan tersebut dan berharap pemandu di negara ini akan lebih mementingkan keselamatan semasa pemanduan selepas ini.

“Sebanyak 14 kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang dipasang seluruh negara dan kita monitor selama dua hari ini,” katanya semalam.

Tiong Lai berkata, kelajuan kenderaan sudah menurun.

Bagaimanapun katanya, maklumat terperinci mengenainya  akan beliau beritahu dalam masa sebulan lagi.

“Saya harap pada selepas ini tidak perlu lagi kerajaan gunakan penguatkuasaan. Pemandu sendiri akan tahu mana keadaan yang dia perlu pandu dengan perlahan…sebab kita bukan nak kenakan penalti atau hukuman. Kita nak selamatkan nyawa,” katanya.

Tiong Lai berkata penguatkuasaan sistem AWAS bagi semua kesalahan pemanduan akan dilakukan secara berperingkat sehingga hujung tahun ini.

AWAS adalah sistem yang dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan kamera dibantu sistem teknologi maklumat untuk mengenal pasti dan mengesan pesalah jalan raya.

Sistem AWAS sepatutnya dilaksanakan Mei tahun lalu tetapi ditangguhkan untuk mendapat kelulusan kabinet selain menunggu sistem dalam talian bersepadu kesalahan trafik dibangunkan JPJ siap sepenuhnya.

Sebanyak 23 kesalahan jalan raya akan dimasukkan dalam AWAS secara berperingkat bermula dengan kesalahan memandu melebihi had laju dan pelanggaran lampu merah, yang akan dikuatkuasa pada 15 April lalu.

Kesalahan lain yang akan dikenakan mata demerit ialah membawa lebih muatan daripada had ditetapkan dan muatan terjatuh atau tumpah sehingga menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Share This:




Berita Bertarikh pada 18 April 2017 10:19 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]