Kategori Berita Utama

Azalina saran tubuh jawatankuasa selesai urusan wasiat tertangguh

8 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengarahkan supaya sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan oleh Amanah Raya bagi membuat beberapa penambahbaikan terhadap beberapa akta yang digubal pada 1995.

Katanya, jawatankuasa tersebut perlu ditubuhkan segera bagi menguruskan pentadbiran pusaka, penulisan wasiat dan peramanahan supaya ia boleh dibentangkan dalam sesi parlimen Mac ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berbual bersama Pengerusi Amanah Raya Berhad Tan Sri Sabaruddin Chik serta sebahagian daripada Lembaga Pengarah Urusan Syarikat pada Majlis Lawatan Rasmi ke Amanah Raya Berhad di Wisma Amanah Raya Kuala Lumpur

“Saya dimaklumkan pelbagai usaha telah dilakukan oleh AmanahRaya setiap tahun bagi memastikan rakyat Malaysia diberi pendedahan mengenai kepentingan pengurusan pusaka, wasiat dan amanah ini.

“Hasilnya jumlah pendaftaran wasiat meningkat dari tahun ke tahun dan ini menunjukkan bahawa kesedaran rakyat terhadap kepentingan Perancangan Pewarisan khususnya wasiat dan amanah adalah semakin tinggi.

“Saya menyarankan bahawa satu jawatankuasa khas ditubuhkan Amanah Raya yang melibatkan semua pihak-pihak yang berkepentingan terdiri daripada wakil-wakil pihak kerajaan dan swasta untuk meneliti dan mengkaji secara terperinci kesemua perkara-perkara yang dibangkitkan sebentar tadi khususnya berkenaan cadangan penambahbaikan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akta 532) yang tidak pernah dipinda sejak akta tersebut digubal pada tahun 1995,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lawatan Rasmi ke Amanah Raya Berhad di Kuala Lumpur, Isnin.

Terbaru, Amanah Raya telah berkolaborasi dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam menawarkan alternatif kepada masyarakat untuk melantik Amanah Raya sebagai Penama bagi memastikan pembahagian pusaka ahli KWSP dapat ditadbir secara efisyen.

Selain itu Amanah Raya turut telah bekerjasama dengan Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) dimana PIAM mencadangkan kepada mahkamah untuk melantik Amanah Raya bagi melindungi pampasan yang diberikan kepada waris bawah umur dan Orang Kelainan Upaya.

Azalina dalam masa yang sama turut berharap Pasukan Kajian yang telah ditubuhkan Perdana Menteri sebelum ini untuk mengkaji penubuhan Pusat Daftar Setempat Harta dan Tanggungan milik si mati 1Malaysia dapat memuktamadkan laporan tersebut dan diserahkan kepada beliau dalam masa yang terdekat.

Katanya ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 January 2018 2:29 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: