Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tunaikan janji pada nelayan Pengerang

19 NOV: Datuk Seri Azalina Othman Said mahu kerajaan menunaikan janji ketika pilihan raya lalu yang dibuat kerajaan di kawasan Parlimen Pengerang yang terbabit projek Rapid terutama pembinaan kompleks perikanan bagi membela nasib nelayan.

Katanya, projek Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu amat perlu untuk memastikan pendapatan warga nelayan yang berpindah ke penempatan baru tidak terjejas.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Selasa, Azalina tidak mahu nelayan atau penduduk yang sudah bersetuju dengan projek Rapid teraniaya.

azalina2Beliau turut membangkitkan mengenai bantuan sara hidup RM200 yang diperuntukkan oleh kerajaan pada setiap nelayan, yang menurutnya terlalu sedikit dan kurang praktikal.

“Bantuan sara hidup yang kerajaan bagi nelayan sebanyak RM200 itu memang bagus. Tetapi nelayan bot besar rasanya tak perlu bantuan itu. Bantuan itu harus difokuskan kepada nelayan bot pukat dan nelayan-nelayan kecil yang lain.

“Saya dapat maklumat bahawa jumlah bot besar yang mendapat bantuan itu seramai 7,000 orang.Jika kita tak bagi golongan ini, kerajaan boleh selamatkan RM55 juta,” katanya.

Menurut Azalina, bantuan RM200 itu bukan sahaja kecil tetapi juga kurang praktikal dan adalah lebih baik ia ditukarkan kepada bantuan enjin, pukat atau bot.

“Sepatutnya LKIM bagi bantuan bot, pukat atau enjin, baharulah dapat bantu nelayan meningkatkan rezeki,” katanya.

Azalina turut mencadangkan LKIM supaya menyediakan khidmat guaman kepada nelayan.

Beliau mengambil contoh kes minyak tumpah di Pengerang di mana nelayan di sana terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk mendapatkan khidmat peguam.

“Di Pengerang ada kes minyak tumpah membabitkan seribu orang nelayan yang menggunakan khidmat peguam untuk menyaman. Mereka menang tetapi masing-masing hanya dapat RM1ribu seorang kerana selebihnya digunakan untuk membayar khidmat peguam.

“Kenapa LKIM tak bantu kebajikan nelayan seperti menyediakan bantuan khidmat guaman atau sekurang-kurangnya memberikan diskaun untuk perkhidmatan itu,” katanya.

Beliau juga memohon kerajaan menjelaskan mengapa tidak memperuntukkan bantuan perumahan nelayan untuk tahun ini.

“Tahun lepas Perdana Menteri beri peruntukan RM300 juta untuk perumahan nelayan, tetapi tahun ini tak ada peruntukan itu. Bantuan perumahan itu harus dikekalkan.

“Kerajaan juga harus kekalkan peruntukan untuk naik taraf rumah nelayan. Mengapa FELDA boleh buat rumah untuk peneroka dan LKIM tidak boleh berbuat demikian untuk nelayan?,” ujarnya.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 November 2013 10:19 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: