Kategori Berita Utama

Azmin belum maklum Sultan Selangor berkenaan 3 EXCO

20 MEI: Walaupun PAS sudah membatalkan hubungan politik dengan PKR, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui pihaknya belum memaklumkan secara rasmi kepada Istana Selangor mengenai kedudukan terkini urus tadbir kerajaan negeri.

“Setakat ini, tiada perbincangan khusus dibuat mengenai kedudukan tiga EXCO PAS dalam pentadbiran Selangor dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” kata beliau yang juga Timbalan Presiden PKR, Sabtu.

Difahamkan, Azmin mengiringi Sultan Sharafuddin menziarahi Makam Diraja Shah Alam dan Makam Diraja Klang, pada pagi tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan merujuk kepada pihak istana mengenai isu berkenaan, Azmin enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya Ahli Parlimen Gombak itu berkata beliau sentiasa bertemu dengan Sultan Selangor pada setiap hari Selasa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Selangor Agrofest 2017 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah EXCO dari PAS, Zaidy Abdul Talib yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi yang juga ADUN Sabak.

Pada 11 Mei lalu Majlis Syura Ulama PAS membatalkan hubungan politik dengan PKR serta merta.

Keputusan penamatan itu menimbulkan spekulasi mengenai kedudukan tiga EXCO PAS serta akar umbi parti Islam itu yang memegang jawatan perlantikan politik dalam kerajaan Selangor.

Selain Zaidy, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi memegang jawatan EXCO.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Rabu lalu memutuskan kesemua EXCO itu kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 May 2017 9:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: