Kategori Berita Utama

Azmin lebih matang berbanding Anwar

Dengar hujah ahli parlimen Gombak Azmin Ali yang mengakui cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sistem percukaian yang telus dan efesien serta mampu memberi kebaikan jangka panjang tentu bikin Datuk Seri Anwar Ibrahim pening kepala.

Bukan sahaja Ketua Pembangkang tetapi tentu ramai lagi ahli parlimen sama ada dari PKR, DAP dan PAS yang sudah berhujah membahaskan Bajet 2014 di Dewan Rakyat pasti tidak setuju dengan Timbalan Presiden PKR itu.

Maklumlah, dalam hujah-hujah mereka sebelum ini hampir semua mempertikai pelaksanaan GST malah isu itu cuba dimanipulasi PAS dalam kempennya di PRK Dewan Undangan Negeri Sungai Limau.

Blok pembangkang guna macam-macam alasan menafikan kebaikan GST yang secara mudah ‘siapa yang berbelanja besar, mereka kena bayar lebih’.

gstWalaupun, sebelum ini pembangkang membuat pendirian tidak menolak GST tetapi meneliti hujah-hujan mereka, nampak pembangkang cuba menimbulkan kekeliruan kepada rakyat kononnya orang ramai termasuk penduduk kampung seperti di Sungai Limau akan ‘ditekan’ cukai dan harga barangan lebih mahal.

Azmin  nampak lebih berpijak di bumi nyata Cuma berpendirian April 2015 bukan masa sesuai untuk kerajaan menguatkuasakan GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kadarnya berjumlah hingga 16 peratus.

“Saya tegaskan pakatan pembangkang tidak pernah mengambil pendirian menolak GST.

“Pendirian kita jelas, GST ini sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan dalam jangka masa panjang akan memberi kebaikan kepada ekonomi negara. Cuma persoalannya apakah Malaysia sudah bersedia,” katanya semasa membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau tidak membuta tuli seperti Anwar ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 bertindak memutar-belitkan fakta mengenai GST bahkan menuduh pelaksanaan sistem percukaian itu merupakan perbuatan ‘jenayah’ Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

azminali

Azmin Ali

Sedangkan ahli Parlimen Permatang Pauh patut sedia maklum mengenai GST kerana perkara itu sudah dibangkitkan sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika itu.

Azmin dalam hujahnya turut mengakui Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada hasil cukai petroleum dan gas semata-mata jika berhasrat muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi dalam masa tempoh tujuh tahun lagi.

“Kita sedar asas cukai di negara ini agak sempit dan kita perlu satu reformasi sistem percukaian yang menyeluruh dengan asas cukai yang lebih komprehensif bagi menggantikan SST yang ketika ini menyumbang tujuh peratus kepada pendapatan negara,” katanya.

Menurut Azmin, dalam aspek pelaksanaan GST kerajaan perlu memperbetulkan falsafah serta matlamat percukaian tersebut iaitu bertujuan merangsang rakyat meningkatkan simpanan, bukannya berobjektif memperoleh pendapatan sebanyak RM27 bilion.

Beliau menambah, kerajaan juga perlu belajar dari negara maju yang mana negara terbabit hanya mula melaksana GST selepas infrastruktur cukai sudah kukuh di samping kadar cukai pendapatan turut dikurangkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

Katanya, di negara maju sebaik sahaja GST dilaksana kadar cukai pendapatan dan korporat diturunkan kepada kadar yang signifikan.

“Tetapi kita untuk mengurangkan beban diganti dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Penurunan cukai pendapatan antara satu hingga tiga mata tidak memadai,” katanya.

wahidomar

Wahid Omar

Sebenarnya kerajaan membuat perancangan yang teliti sebelum melaksanakan GST pada April 2015 bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar sudah menjelaskan, ini dapat dilihat daripada beberapa pakej yang disediakan kerajaan sebagai langkah mengurangkan impak pelaksanaan GST.

“Sebagai contoh, (kerajaan) memberikan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)tambahan RM300 dalam tahun pertama pelaksanaan GST ini.

“Kita juga bakal menambah BR1M daripada RM500 kepada RM650 setahun, dan kepada mereka yang berpendapatan antara RM3,000 sehingga RM4,000, kita berikan mereka BR1M RM450.

“Dan untuk mereka yang berpendapatan pertengahan, kita adakan juga banyak program di mana, sebagai contoh, pelepasan cukai pendapatan perseorangan sebanyak RM2,000. “Ini antara pakej ‘off-set’ untuk membantu rakyat mengalami struktur percukaian baharu ini,” katanya.

GST dikecualikan terhadap barangan makanan seperti beras, gula, tepung, ayam, ikan dan daging manakala  kadar yang ditetapkan kerajaan adalah munasabah iaitu hanya enam peratus.

Beliau berkata kerajaan sudah memaklumkan tentang pelaksanaan GST sejak 2006 dan akan menggunakan tempoh 17 bulan mulai sekarang untuk memperjelas perkara itu bagi membolehkan semua pihak, termasuk syarikat, bersiap sedia melaksanakannya.

Pembangkang tidak sepatutnya mempolitikkan pelaksanaan GST kerana itu adalah cukai yang adil kepada semua pihak.

Rakyat tidak perlu bimbang jika ada peniaga menaikkan harga apabila pelaksanaan GST kelak kerana pihak penguatkuasaan dan tindakan undang-undang pasti menunggu peniaga yang tamak ini.

Nampak Azmin lebih bijak berbanding Anwar dan sebab itu tidak hairan ada berpendapat Azmin lebih layak menerajui PKR sebagai Presiden parti -31/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 October 2013 11:56 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: