Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Azmin nafi bertanggungjawab jaga peruntukan ADUN

26 MAC: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi mengelak daripada mengulas status sebenar peruntukan wakil rakyat membabitkan ADUN PAS di negeri itu.

Ketika ditanya media, Azmin memberitahu beliau ‘tidak jaga peruntukan daerah’ dan meminta ADUN yang terlibat merujuk pejabat daerah (DO) masing-masing.

“Saya tidak tahulah, saya bukan jaga peruntukan di peringkat daerah tetapi secara dasarnya saya beritahu mana-mana ahli dewan undangan negeri daripada mana-mana parti boleh berurusan dengan pegawai daerah dan pegawai daerah memberikan kerjasama yang baik.

“Jadi perkara ini boleh diselesaikan sekiranya setiap ahli dewan undangan negeri itu mematuhi peraturan dan peruntukan kewangan yang sedia ada sebab pengawal kewangan ini adalah pegawai daerah, bukan Tuanku,” katanya kepada media selepas perasmian pembukaan sidang DUN Selangor bagi penggal keenam, hari ini.

Terdahulu, beliau ditanya berhubung perkembangan terbaru empat daripada 13 ADUN PAS Selangor yang dilaporkan menerima peruntukan mereka sejak minggu lalu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi hari ini mengesahkan hanya empat ADUN sahaja daripada parti itu yang mula menerima peruntukan wakil rakyat daripada kerajaan negeri berkenaan.

Empat ADUN tersebut adalah Mohd Khairuddin Othman (ADUN Paya Jaras), Noor Hanim Ismail (Seri Serdang), Zaidy Abdul Talib (Taman Templer) dan ADUN Dusun Tua, Razaly Hassan.

Susulan itu, Sallehen hari ini turut tidak menolak akan meneruskan ‘niat’ mereka membuat laporan kepada Jabatan Audit Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika kerajaan negeri di bawah pimpinan Azmin itu masih gagal untuk memberikan peruntukan kepada sembilan lagi ADUN PAS yang lain dan membuat penjelasan sebenar berhubung sekatan dana sehingga esok.

Sebelum ini Sallehen berkata siasatan jabatan audit dan SPRM itu perlu untuk mengenal pasti terdapat atau tidak kepincangan urus tadbir dan kemungkinan wujud penyelewengan kuasa melibatkan Pejabat Menteri Besar.

Untuk rekod, kesemua ADUN PAS terpaksa menggunakan wang peribadi mereka untuk menjalankan program-program mesra rakyat hingga mencecah hampir RM700,000.

Malah terdapat program yang dirancang lebih awal terpaksa dibatalkan berikutan masalah kewangan.

Difahamkan pembekuan peruntukan RM800,000 kepada setiap ADUN Selangor itu hanya membabitkan wakil rakyat PAS dan didakwa untuk mencantas khidmat mereka kepada penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 March 2018 5:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: