Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Azmin pertahan arahan henti langgan Utusan, Berita Harian

13 NOV: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan tindakan kerajaan negeri pimpinannya yang mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri menghentikan langganan akhbar kumpulan Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Berkata dalam sidang DUN hari ini, Azmin menegaskan tindakan itu wajar dilakukan kerana tidak ada keperluan untuk Selangor melanggan akhbar itu yang didakwanya tidak mempunyai nilai berita serta tidak melaporkan secara telus.

Azmin malah turut memetik kenyataan bekas Editor Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Mustapha Kamil Mohd Janor, yang menempelak Tan Sri Annuar Musa dengan meminta Ketua Penerangan UMNO itu bertanyakan kepada ahli UMNO terlebih dahulu mengapa mereka tidak menyokong akhbar milik parti sendiri.

“Mustapha persoalkan sokongan ahli UMNO terhadap akhbar Utusan dan akhbar NSTP. Eloklah tanya ahli UMNO dahulu kenapa mereka tak sokong akhbar mereka sendiri.

“Kalau ahli UMNO pun tak sokong utusan dan NSTP, buat apa kerajaan negeri mahu melanggan akhbar yang tak ada nilai langsung.

“Ini wang kerajaan, wang pembayar cukai…tak perlu kita langgan akhbar yang tak ada nilai berita langsung…yang ada fitnah, putar belit, kecaman tak berasas, sekarang ini orang Melayu tak baca utusan. Ahli umno pun tak langgan utusan,” kata ADUN Bukit Antarabangsa itu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan ADUN Sungai Panjang, Budiman Zohdi yang mempertikaikan ketelusan dalam menyalurkan maklumat kepada penjawat awam negeri di sebalik tindakan kerajaan negeri menghentikan langganan akhbar berkenaan.

Selangor pada 9 November lalu mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri menghentikan langganan akhbar di bawah kumpulan Utusan Malaysia dan Berita Harian berkuat-kuasa serta-merta.

Arahan tersebut mengundang kritikan daripada pemimpin Umno, termasuk Annuar yang menyifatkan arahan itu membuktikan Selangor tunduk kepada pengaruh DAP, selain ia memberi gambaran yang buruk terhadap pentadbiran Azmin.

Kenyataan Annuar itu dibidas Mustapha dengan memintanya bertanya kepada ahli Umno dahulu mengapa mereka tidak menyokong akhbar mereka sendiri.

Sidang dewan mula kecoh apabila Budiman kemudian bangun mencelah dan membidas Azmin sehingga menyebabkan sidang DUN kecoh seketika ekoran petikaman lidah di antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Speaker, Hannah Yeoh terpaksa campur tangan bagi meleraikan pertelingkahan berkenaan, sambil mengingatkan setiap ADUN untuk berlaku jujur ketika bertanyakan soalan tambahan.

“Kalau tanya soalan tapi tak nak dengar jawapan, ini yang buat saya marah,” katanya sambil meminta Azmin meneruskan jawapannya.

Dalam pada itu Azmin menafikan bahawa arahan sedemikian adalah cubaan untuk menyekat penjawat awam negeri mendapat akses kepada berita atau maklumat.

“Dalam negara yang amalkan demokrasi, saya mahu rakyat Selangor ada akses kepada kepada ilmu yang beri pencerahan kepada mereka, tapi pencerahan yang saya maksudkan adalah pencerahan berasaskan fakta, bukan fitnah, budaya samseng.

“Saya tak benarkan mana-mana jabatan dan agensi kerajaan langgan akbar yang tak ada nilai berita,” katanya.

Azmin juga menafikan surat pekeliling kali kedua bertarikh 9 November itu dikeluarkan ekoran agensi dan jabatan kerajaan negeri mengingkari surat pekeliling pertama pernah dikeluarkan 2008.

“Bukan kita tak hormati keputusan 2008, tapi kita mahu beri peluang kepada Utusan untuk insaf,” sindir beliau, sambil merujuk kepada pekeliling pertama bertarikh 12 Jun 2008.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 November 2017 4:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: