Kategori Berita Utama

Azmin: Saya masih MB Selangor

5 MEI: Desas desus bahawa kestabilan Kerajaan Selangor semakin goyah dinafikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa pentadbirannya tidak terjejas dan semakin utuh.

“Jangan risau, ini satu provokasi dan kita sudah biasa menghadapinya,” katanya menenangkan para penyokong Pakatan Harapan yang menyambut kepulangan beliau dari luar negara, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat.

Sementara itu, sejurus tiba, Azmin juga disambut oleh dua EXCO PAS iaitu Zaidy Abdul Talib dan Dr Ahmad Yunus Hairi dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Shafie Ngah serta ADUN dari PKR dan DAP.

Bagaimanapun, kelibat Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad yang juga EXCO negeri itu tidak kelihatan.

Azmin tiba di KLIA petang tadi selepas mengadakan lawatan kerja di Jordan dan Maghribi sejak 1 Mei lalu.

Walaupun kedudukan beliau sebagai Menteri Besar ibarat telur dihujung tanduk, Azmin menjelaskan bahawa beliau tetap optimis untuk terus memimpin kerajaan negeri.

“Saya gembira dan yakin dengan ADUN di Selangor memberi khidmat terbaik, sentiasa memberi tumpuan kerja dan bukan memberi tumpuan kepada politik jahat yang mengganggu tugas mereka.

“Saya juga melihat perkara yang berlaku adalah strategi UMNO yang mengasak dan membuli kerajaan negeri,” dakwanya.

Pada Ahad lalu, muktamar parti Islam menerima usul daripada perwakilan untuk menamatkan ‘tahaluf siyasi’ dengan PKR dan terdapat khabar angin bahawa kedudukan Azmin sebagai Menteri Besar menjadi goyah.

Bagaimanapun keputusan muktamad akan ditentukan oleh Majlis Syura Ulama dalam masa terdekat.

Selain itu, timbul ura-ura empat ADUN PKR akan melompat parti bagi membentuk kerajaan baharu bersama pembangkang di Selangor.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan berlaku peralihan kuasa kerajaan Selangor dibawah Azmin.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 May 2017 6:21 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: