Kategori Berita Utama

Azmin sekat peruntukan, PAS belanja duit sendiri RM693 ribu

28 FEB : PAS akhirnya membuka mulut tentang Menteri Besar Selangor yang dikatakan membekukan peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada ADUN PAS.

Menurut Pesuruhjaya PAS negeri Selangor Sallehen Mukhyi seramai sembilan wakil rakyat PAS Selangor telah menggunakan wang sendiri sebanyak RM693 ribu untuk melaksanakan program di kawasan masing-masing.

Menurutnya tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah bertentangan dengan apa yang dijanjikan sebelum ini untuk mengutamakan rakyat.

“Kita mewakili setengah juta rakyat dalam DUN masing-masing yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa. Itu rakyat yang kita wakili yang memerlukan pertolongan dalam pelbagai masalah.

“Ia bukan lagi soal ADUN PAS tetapi soal rakyat. Ia hak rakyat yang berada di bawah ADUN PAS,” katanya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor, Rabu.

Sallehen berkata, ADUN Chempaka Datuk Iskandar Samad membelanjakan wang saku sebanyak RM197 ribu, diikuti ADUN Gombak Setia Hasbullah Mohd Ridzuan RM130 ribu dan ADUN Selat Kelang Halimah Ali RM100 ribu.

“Saya sendiri sudah menggunakan wang sendiri sebanyak RM40 ribu,” katanya.

Beliau bagaimanapun bertegas untuk tidak akan meminta peruntukan tersebut daripada kerajaan negeri kerana Azmin patut tahu yang peruntukan itu tidak harus mengecualikan ADUN PAS untuk menerimanya.

Namun beliau hairan dengan kenyataan Azmin yang menyatakan ia mempunyai masalah teknikal dalam pengedaran peruntukan kepada Adun PAS yang tidak dialami wakil rakyat parti-parti lain.

“Kenapa masalah teknikal ini hanya kepada Adun PAS sahaja?

“Menteri besar minta rujuk kepada pegawai daerah tetapi bila rujuk diberitahu untuk rujuk kepada menteri besar. Berlaku tolak menolak dalam perkara ini,” dedahnya.

Beliau dalam masa yang sama turut mempersoal apakah masalah teknikal yang dinyatakan Azmin sebelum ini.

“Peruntukan diluluskan dalam DUN…menjadi amalan apabila diluluskan kita akan dapat. ADUN lain sudah terima dan boleh buat program tetapi ADUN PAS masih belum terima,” katanya.

“Jika ada masalah teknikal, apa masalahnya teknikalnya?” soalnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 February 2018 9:21 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: