Kategori Berita Utama

Bagaimana PM buat kesimpulan hutang capai RM1 trilion?

21 MEI: Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kesimpulan bahawa hutang negara kini telah mencapai angka RM1 trilion.

Mengulas laporan Bank Negara pada Disember tahun lalu, Khairul menegaskan hutang negara hanya berjumlah RM686.8 bilion.

“Di mana perdana menteri dapat angka RM1 trilion? Adakah penasihat barunya gagal membekalkan maklumat yang betul kepadanya?

“Atau ini hanya satu taktik politik untuk menyalahkan bagi menjadikan rakyat fikir hutang negara yang ditanggung kerajaan Pakatan Harapan adalah kesalahan pentadbiran terdahulu?” soal Khairul Azwan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, laporan Bank Negara pada Mac tahun ini menunjukkan ekonomi domestik berada dalam keadaan baik.

“Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang kukuh antara 5.5 peratus dan 6 peratus pada 2018,” ujar Khairul Azwan yang juga seorang Senator.

Dalam perhimpunan bulanan pertama Jabatan Perdana Menteri hari ini Mahathir berkata hutang negara telah melepasi paras RM1 trilion berbanding RM300 bilion sebelumnya.

Angka hutang negara yang disediakan Mahathir hari ini jauh lebih tinggi daripada angka rasmi yang diberikan oleh pentadbiran sebelumnya.

Kementerian Kewangan sebelum ini berkata kerajaan mencatatkan hutang sebanyak RM687.43 bilion pada September 2017.

Awal bulan ini, The Edge Financial Daily melaporkan hutang kerajaan berkembang pada kadar purata 10 peratus setahun daripada RM266.72 bilion pada tahun 2007 kepada RM687.43 bilion pada September 2017 ekoran perbelanjaan yang berlebihan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 May 2018 9:49 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: