Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Bajet 2018: Pembangkang jangan hipokrit

31 OKT: Pembangkang dibidas untuk tidak bersikap hipokrit dengan menafikan Bajet 2018 yang dirangka Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) adalah bajet yang komprehensif untuk pembangunan melibatkan seluruh negeri.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menyelar pembangkang yang sering memanipulasi apa sahaja kebaikan yang dilakukan kerajaan untuk rakyat.

Tindakan pembangkang mempersoalkan kenapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerajaan memberi penumpuan kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak, Budiman telah meminta pembangkang merenung kembali kenapa kedua-dua negeri berkenaan ketinggalan daripada arus pembangunan negara selama ini.

“Mereka dakwa BN gagal membangunkan Sabah dan Sarawak selama ini, apabila ditanya siapa yang menguasai kerajaan selama 22 tahun, mereka terus menyalahkan BN, pelik ini memang perkara pelik.

“Mengapa tatkala sesuatu perkara itu berpihak kepada mereka, lalu diambil kredit, tetapi bila ia tidak menyebelahi mereka BN akan dipersalahkan,”selarnya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan menyokong Bajet 2018 di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Budiman juga membidas pembangkang yang mengecam dan tidak mengiktiraf Bajet 2018 adalah sebuah bajet yang baik, seolah-olah tidak ada kebaikan langsung diperuntukkan dalam bajet itu kepada rakyat.

“Kalau pun pembangkang tidak mengakui kebaikan yang BN lakukan selama ini kepada rakyat, setidak-tidaknya jujurlah untuk mengakuinya kepada diri sendiri.

“Mereka membuatkan seolah-olah BN tidak ada langsung memberikan kebaikan kepada rakyat menerusi bajet tersebut,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memperuntukkan RM100 juta daripada Bajet 2018 untuk skim pinjaman kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Ini satu rangsangan kepada AIM untuk terus membantu meningkatkan taraf kehidupan wanita terutamanya di luar bandar dalam bidang usahawan.

“Namun perlunya satu program khas bagi membantu mereka menghadapi saingan perniagaan di zaman digital ini,” katanya di Dewan Rakyat dalam perbahasan menyokong Bajet 2018, hari ini.

Justeru itu, beliau berharap lebih banyak fasiliti yang disediakan pihak kerajaan dalam menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 atau lebih dikenali perniagaan zaman digital.

“Pastinya kebolehan digital dapat memudahkan perniagaan para usahawan terus berkembang, produk dapat dipasarkan lebih meluas dan sebagainya.

“Ini juga dapat menggalakkan para usahawan kecil lebih berdaya saing sekaligus memajukan perniagaan mereka.

“Untuk itu diharapkan gajet gajet dan peralatan komputer diberi fasiliti dengan harga yang murah bagi merangsang para usahawan dan juga rakyat untuk tidak ketinggalan dalam bidang digital,” jelasnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 October 2017 8:43 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: