Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Bajet 2018: Penjawat awam terima bonus RM1500

27 OKT: Kerajaan tidak pernah melupakan jasa dan budi penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara selama ini dengan memperuntukkan pemberian durian runtuh sebanyak RM1500.

Berita gembira kepada 1.6 juta penjawat awam itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pembentangan Bajet 2018, di Parlimen, pada Jumaat.

“Bagi menyanjung tinggi sifat wala’ dan kesetiaan Tuan-Tuan dan Puan-Puan, dalam mendokong kemajuan negara serta melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap lagi berkesan kepada rakyat,… maka sukacitanya saya mengumumkan, bayaran khas sebanyak 1,500 ringgit kepada semua penjawat awam,” katanya.

Pembayaran khas itu akan diberikan dua kali, iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018, dan RM500 pula menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.

Bajet 2018 juga tidak meminggirkan pesara kerajaan apabila turut memperuntukkan bayaran khas sebanyak RM750, RM500 ringgit dibayar pada Januari 2018, dan RM250 pula menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Bajet 2018 juga memberi berita gembira kepada penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan, akan menerima faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur persaraan wajib.

Perdana Menteri juga mengumumkan, penjawat awam yang berkhidmat lebih 13 tahun dengan kerajaan diberikan kenaikan pangkat time-based kali kedua bagi kumpulan pelaksana untuk tempoh 13 tahun.

Pertama: Kenaikan pangkat time-based kali kedua bagi kumpulan pelaksana untuk tempoh 13 tahun, selepas kenaikan kali pertama;

Kedua: Penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan, akan menerima faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur persaraan wajib;

Ketiga: Membenarkan Gantian Cuti Rehat melebihi 150 hari digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan;

Keempat: Menaikkan kadar Cuti Rehat Khas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan daripada tujuh hari kepada 10 hari setahun;

Kelima: Kerajaan buat pertama kalinya, bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah;

Keenam: Untuk memberi fleksibiliti, Kerajaan akan menambah satu lagi Waktu Kerja Berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang;

Ketujuh: Pakar Perubatan Gred UD54 dan ke atas, yang telah diwartakan sekurang-kurangnya 4 tahun, serta memenuhi syarat tertentu, akan diberi kelonggaran satu hari seminggu untuk melaksanakan Waktu Kerja Fleksi;

Kelapan: Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas, dibenarkan pulang lebih awal sejam. Bagi melengkapi hasrat ini, suami yang bekerja Kerajaan juga dibenarkan pulang lebih awal sejam,… syaratnya, suami dan isteri mestilah bekerja di lokasi yang berdekatan;

Kesembilan: Meningkatkan kelayakan cuti bersalin daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang perkhidmatan, tertakluk kepada maksimum 90 hari setahun;

Kesepuluh: Pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam dengan melaksanakan Kursus Sarjana dan PhD secara in-house;

Kesebelas: Menaikkan kadar pencen terendah kepada 1,000 ringgit sebulan melibatkan lebih 50 ribu pesara awam, dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan

Kedua belas: Pemanjangan kemudahan perubatan untuk ibu dan bapa kepada pesara Kerajaan.

Kesemua langkah di atas berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 October 2017 6:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: