Kategori Berita Utama

Bajet PH disifatkan tidak bertanggungjawab, tidak realistik, tidak mampan

25 OKT: Bajet Alternatif yang dikeluarkan Pakatan Harapan (PH) hari ini boleh dirumuskan kepada 3 perkataan – tidak bertanggungjawab, tidak realistik dan tidak mampan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang menyelar bajet itu berkata PH selama ini hanya pandai berjanji bahawa mereka akan berbelanja secara berhemah, memotong cukai semata-mata mahu rakyat memilih PH.

Sedangkan hakikatnya jelas Abdul Rahman rakyat tidak mengetahui perbelanjaan mengurus kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor telah meningkat berganda-ganda.

“Mereka tidak akan memberitahu rakyat Malaysia bahawa perbelanjaan mengurus kerajaan negeri Pulau Pinang meningkat berkali-kali ganda daripada RM252.3 juta (2007) kepada RM825.9 juta (2016) dan Selangor daripada RM1.15 billion (2008) kepada RM2.34 billion (2016).

“Sekiranya mereka telah berbelanja secara berhemah, sepatutnya perbelanjaan mengurus mereka menurun bukannya meningkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Abdul Rahman, PH juga menabur janji-janji manis dengan memberi pemotongan cukai meskipun mereka menyedari hakikat ia adalah amat mustahil untuk dilakukan.

“Kemudian mereka menjanjikan pemotongan cukai seperti memansuhkan GST dan mengurangkan kadar duti eksais ke atas kenderaan.

“Di samping itu mereka juga menjanjikan pemansuhan lebuhraya bertol, pendidikan percuma dan menjimatkan RM20 billion dengan membanteras rasuah.

” Seperti belanjawan alternatif tahun tahun sebelum ini, tidak ada rancangan bagaimana mereka mahu menampung kos membeli konsesi-konsesi tol, tiada rancangan yang jelas bagaimana mereka akan membayar RM40 billion pinjaman PTPTN daripada institusi-institusi kewangan atau bagaimana mereka mahu menjimatkan RM20 billion setiap tahun dengan membanteras rasuah,” ujarnya lagi.

Jelas Abdul Rahman bajet alternatif PH ini belum mengambil kira fakta bahawa menghapuskan tol, menyediakan pendidikan percuma dan meningkatkan gaji minima akan menelan belanja beratus billion Ringgit untuk jangka masa panjang.

“Janji-janji ini bukan sahaja tidak akan mencipta pekerjaan, meningkatkan pendapatan atau mengurangkan kos sara hidup sebaliknya janji janji ini akan menyebabkan perniagaan berhenti mengambil pekerja, pekerja akan kehilangan pekerjaan, agensi penarafan akan menurunkan penarafan kredit bon kerajaan yang akan menyebabkan kos pinjaman kerajaan meningkat dan banyak kesan besar negatif yang akan melibatkan rakyat secara terus,” katanya.

Dengan mengambil contoh di Pulau Pinang Abdul Rahman berkata, konsep C.A.T yang kononnya diamalkan kerajaan negeri tidak menghalang Ketua Menteri mereka daripada menyalahgunakuasa untuk kepentingan peribadinya.

“Tahun demi tahun, pembangkang memperdayakan rakyat menunjukkan mereka hanya pandai berjanji.

“Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan agensi-agensi penarafan semuanya mengakui usaha kerajaan melaksanakan dasar-dasar fiskal yang mampan seperti melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan dan merasionalisasi subsidi adalah usaha ke arah yang betul.

“Sementara itu pembangkang mahu melaksanakan dasar-dasar berlawanan dengan apa yang sudah dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat Malaysia seharusnya sedar bahawa Bajet yang akan memberi kesan positif kepada mereka adalah Bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini di Dewan Rakyat.

“Kita tidak patut memperjudikan masa depan kita dengan bergantung kepada janji-janji pembangkang yang tidak masuk akal.

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab yang bukan sahaja memikirkan untuk jangka masa pendek, tetapi juga jangka masa panjang.

“Satu perkara yang boleh kita harap daripada pembangkang adalah, mereka kemungkinan besar akan keluar dari Dewan Rakyat semasa bajet sedang dibentangkan seperti mana mereka lakukan tahun lepas,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 October 2017 10:27 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: