Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Banjir di Utara semakin pulih

8 NOV: Keadaan banjir di dua negeri di Utara Semenanjung beransur pulih susulan jumlah mangsa di pusat pemindahan semakin berkurangan.

Sehingga jam 6 pagi tadi, sejumlah 3,482 orang daripada 914 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan di Pulau Pinang berbanding 5,729 orang daripada 1,445 keluarga pada malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata semua mangsa banjir itu ditempatkan di 25 pusat pemindahan di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

“Seramai 2,588 orang berada di 13 pusat pemindahan di daerah SPU manakala 894 orang lagi di 12 pusat pemindahan di SPT,” katanya hari ini.

Sementara di Kedah, jumlah mangsa banjir di lima pusat pemindahan di tiga daerah berkurangan kepada 342 mangsa daripada 87 keluarga pagi ini berbanding 373 mangsa daripada 94 keluarga malam tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata satu pusat pemindahan di Dewan Kampung Bujang, Merbok yang menempatkan 29 mangsa daripada enam keluarga sudah ditutup.

“Sehingga jam 8 pagi tadi, dua pusat pemindahan masih aktif di Kuala Muda iaitu di Dewan Kampung Sungai Pial, Merbok yang menempatkan enam mangsa daripada tiga keluarga dan Dewan Setia Budi, Pekula (55 mangsa, 13 keluarga).

“Bagi daerah Kulim, dua pusat pemindahan masih beroperasi iaitu di Surau Kampung Baru Jemerli, Merbau Pulas (31 mangsa, enam keluarga); dan Surau Teluk Binu, Sidam Kanan (42 mangsa, 11 keluarga),” katanya.

Menurutnya, di daerah Pendang, satu pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Mukim Guar Kepayang yang menempatkan 208 mangsa daripada 54 keluarga.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 November 2017 11:15 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: