Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Banjir kilat landa Gombak

10 NOV: Hujan lebat sejak jam 4 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Gombak dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas adalah sekitar kawasan Batu 7 1/2 dekat Hulu Kelang; Taman Rawiyah Jaya, di Batu 8 dan Batu 9; Kampung Sungai Pusu serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di Gombak.

Selain banjir kilat, dua kawasan turut dilaporkan berlaku runtuhan cerun iaitu di Jalan Lee Yun dekat Taman Zoo View dan Jalan Mulia 1/2, Taman Mulia Jaya masing-masing di Ampang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata banjir kilat di kawasan batu 7 1/2 menyebabkan sekurang-kurangnya empat buah rumah dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter.

“Punca banjir adalah disebabkan hujan yang terlalu lebat hingga paras air Sungai Klang melimpah ke kawasan rumah yang terletak berhampiran sungai.

“Banjir di beberapa kawasan lain pula dikesan berpunca daripada sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak selain longkang tersumbat akibat sampah sarap,” katanya hari ini.

Mohd Sani juga berkata, kejadian cerun runtuh di Jalan Lee Yun membabitkan runtuhan setinggi kira-kira sembilan meter dengan keluasan 4.6 meter persegi.

“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba Ampang digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 4.47 petang

“Bagaimanapun, tiada mangsa mahu pun kerosakan harta benda dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kejadian tebing runtuh di Taman Mulia Jaya mengakibatkan sebuah kereta rosak dihempap pagar yang runtuh.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba Pandan digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 5.51 petang namun, tiada mangsa yang terbabit dengan kejadian itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 November 2017 10:26 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: