Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Batu Puteh: Permohonan interpretasi penghakiman Malaysia diterima ICJ

1 JULAI: Malaysia memfailkan permohonan bagi memohon interpretasi penghakiman yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 berhubung tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh dan Tubir Selatan.

Perkara ini disahkan oleh ICJ yang berpangkalan di The Hague dalam satu kenyataan semalam.

“Malaysia memohon mahkamah memutuskan dan mengisytiharkan perairan di sekitar Batu Puteh dan Tubir Selatan terletak dalam perairan Malaysia, dan seterusnya kedaulatan ke atas Tubir Selatan adalah milik Malaysia.

“Selain itu Malaysia menambah permohonan bagi interpretasi penghakiman 2008 masa kini yang difailkan berdasarkan Perkara 60 Statut Mahkamah ‘bersifat berasingan dan autonomi’ daripada permohonan semakan penghakiman sama yang difailkan pada Februari lalu berdasarkan Perkara 61 Statut Mahkamah, walaupun jika kedua-dua prosiding semestinya berkait rapat,” kata ICJ.

Sebelum ini, dalam penghakiman terdahulu, CIJ mendapati kedaulatan Batu Puteh adalah milik Singapura, sementara kedaulatan Batuan Tengah adalah milik Malaysia.

Bagaimanapun kedaulatan Tubir Selatan masih menjadi pertikaian kedua negara.

Kenyataan tersebut juga menjelaskan bahawa Malaysia dan Singapura sudah mencuba melaksanakan penghakiman 2008 melalui proses kerjasama.

“Untuk tujuan itu, kedua-dua pihak menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) mengenai pelaksanaan penghakiman ICJ 2008, yang antara lain ditugaskan untuk menangani “persempadanan batasan maritim antara perairan kedua-dua negara”.

“Menurut Malaysia, MSJTC menemui jalan buntu pada November 2013. Malaysia menegaskan satu sebab bagi kebuntuan ini ialah pihak terbabit tidak dapat mencapai persetujuan berhubung maksud penghakiman 2008 kerana ia melibatkan Tubir Selatan dan perairan sekitar Batu Puteh.

“Ia menegaskan keperluan untuk mencapai penyelesaian berdaya maju terhadap pertikaian ini adalah mendesak memandangkan jumlah trafik udara dan maritim yang tinggi di kawasan itu,” kata kenyataan itu.

Pada 2 Februari lalu, Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan penghakiman ICJ ke atas tiga pulau berkenaan selepas penemuan tiga dokumen di ‘National Archives of the United Kingdom’ bagi menyokong tuntutan berkenaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 July 2017 8:18 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: