Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Bekas Hakim saran subjek perlembagaan di sekolah

19 MEI: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan menyarankan Perlembagaan Persekutuan dijadikan subjek di sekolah untuk memupuk perpaduan kaum kekal harmoni di masa hadapan.

Datuk Mohd Noor Abdullah berkata perpaduan antara kaum dalam Perlembagaan Persekutuan boleh diajar kepada murid-murid sekolah rendah berdasarkan pemahaman mereka.

“Saya risau lihat masa depan anak-anak kita, kalau kita teruskan keadaan yang membezakan antara kaum. Marilah kita elakkan dan binalah masyarakat yang tiada sempadan bangsa,” katanya selepas sesi perbincangan meja bulat di bawah kumpulan kerja perundangan yang bertajuk ‘Perlembagaan Asas Perpaduan’ anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN), Putrajaya, Jumaat.

Pada masa yang sama, Mohd Noor juga mencadangkan diwujudkan satu slogan iaitu ‘1Malaysia Acuan Perlembagaan’ iaitu rakyat Malaysia yang bersandarkan kepada satu perlembagaan bagi memupuk perpaduan kaum.

Terdahulu pada sesi perbincangan itu, Mohd Noor menyarankan supaya perkataan ‘Bangsa’ digantikan kepada ‘Masyarakat’ seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggunakan istilah ‘Community’.

Katanya sikap melabelkan bangsa akan menggugat perpaduan kaum dan tiba masanya perubahan dilakukan untuk menggantikan perkataan itu.

“Apa kata kita ubah Warga Malaysia ini terdiri daripada masyarakat Orang Asli, masyarakat pribumi dan masyarakat majmuk. Jangan kita gunakan istilah bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Saya nak hujahkan, di Malaysia tidak ada bangsa Melayu, Cina dan India yang ada ialah masyarakat. Bukanlah jelas perlembagaan menggunakan istilah Community dan bukannya bangsa,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 May 2017 7:18 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]