Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Bekas pengarah DBKL di hukum penjara 8 bulan

20 MAC: Bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali dihukum penjara lapan bulan dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan lapan unit kondominium kesemuanya bernilai hampir RM2 juta, lima tahun lalu.

Hakim Allaudeen Ismail memutuskan demikian ke atas Syed Afendy Ali, 56, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, tertuduh didakwa sebagai Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL telah mendapatkan untuk empat individu suatu benda berharga dengan tiada balasan iaitu kepentingan ke atas lapan kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak masing-masing bernilai RM249,000 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn. Bhd., yang tertuduh mengetahui ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan kedua-dua hukuman penjara dan denda tersebut sementara menunggu rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib manakala peguam, Hamidi Mohd. Noh mewakili Syed Afendy Ali. -UM

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 March 2018 3:14 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: