Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Bekas Speaker DUN Johor meninggal dunia

4 JAN: Bekas EXCO kerajaan negeri dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zin, 78, meninggal dunia di kediamannya di Jalan Sri Mahligai, Kampung Nong Chik, hari ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Johor, meninggal dunia pada jam 9.05 pagi kerana kanser usus.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khamsiah Mohamad, 73, serta empat anak dan 12 cucu.

Khamsiah berkata, Allahyarham beberapa kali mendapatkan rawatan akibat kanser usus di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan baru keluar hospital lima hari lalu.

“Allahyarham tidak pernah melakukan pembedahan penyakit kanser usus yang dihidapinya,” katanya ketika ditemui.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, selepas Zuhur.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam satu kenyataan, mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Allahyarham seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas, banyak menabur khidmat bakti dan berjasa kepada Johor, selain sumbangan dalam politik selaku bekas ADUN Rengit,” katanya.

Zainalabidin memegang jawatan ADUN dan EXCO Johor pada 1990 hingga 1999, diikuti Speaker DUN Johor pada 1999 hingga 2004.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 January 2018 6:28 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: