Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Bekas Speaker DUN Johor meninggal dunia

14 JULAI: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd Ali Hassan, 79, meninggal dunia di kediamannya di Taman Nong Chik di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di sini, kira-kira jam 10 pagi nanti.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hadir menziarahi jenazah di kediaman Allahyarham pada jam 8 pagi tadi.

Mohamed Khaled dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kerajaan negeri kepada keluarga Allahyarham.

Katanya, pemergian bekas Ahli Parlimen Tebrau dan EXCO kerajaan negeri itu adalah kehilangan besar kepada Johor kerana Allahyarham adalah tokoh politik yang berwibawa dan banyak berjasa kepada negeri.

“Allahyarham banyak menyumbang bakti dan pemikiran khusus dalam pembangunan Islam di Johor sehingga dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Johor 1435 Hijrah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang dikasihi-Nya,” katanya.

Allahyarham pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Agama Islam Johor dari 1989 hingga 1991 selain Speaker DUN Johor dari 2004 hingga 2013.

Mohd Ali juga pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Tebrau dari 1983 hingga 2004.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 July 2017 9:41 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: