Kategori Analisa Isu Semasa

JIKA PENJARA IBARAT NERAKA…

Adakah penjara Malaysia ibarat neraka dan petugas di sebalik tembok batu serta berpagar besi itu zalim?

Kalau dengar ahli-ahli Parlimen pembangkang bercerita tentang layanan di penjara, tentu berasa gerun.

Mereka menggambarkan penjara di negara ini antara yang baruk dengan  banduan tidur di atas simen, tidak berbantal atau selimut, tidak diberikan berus dan ubat gigi juga sabun mandi.

penjaragrill

Banyak misteri kehidupan disebalik pagar besi penjara tidak diketahui umum.

Makanan pula teruk malah minum air tidak bersih.

Banduan juga dikatakan tidak diberi kemudahan alat tulis, kebenaran menggunakan telefon dan segala macam lagi.

Lebih malang lagi apabila ada banduan yang kononnya tidak menerima rawatan doktor jika sakit.

Namun, benarkah semua yang didakwa ahli parlimen pembangkang seperti mereka gembar gemburkan ketika perbahasan Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Penjara 1995 di Dewan Rakyat, Khamis.

Bagi sesetengah ahli Palimen pembangkang khususnya dengan kerjaya peguam, mereka mungkin dimomok-momokkan dengan macam-macam cerita oleh banduan yang mereka wakili.

Apa kata mereka sendiri merasa duduk di penjara dan ‘nikmati’ layanan penjara di negara ini yang kini jadi contoh kepada beberapa buah negara maju lain.

Penulis sebenarnya berpeluang ‘masuk’ beberapa penjara besar antaranya Penjara Pudu, Penjara Taiping dan antara paling awal dibenarkan masuk ke Kompleks Penjara Sungai Jerlok Kajang sebaik sahaja siap pada tahun 80an.

penjarakajang

Kompleks Penjara Kajang Sungai Jerlok lengkap pelbagai kemudahan untuk banduan

Kerana hubungan rapat dengan Ketua Pengarah Penjara waktu itu, Datuk Ibrahim Mohamed, penulis diberikan surat khas meninjau mana-mana penjara bagi kajian dan penulisan.

Malah, sekitar 80 an juga penjara Pudu memperkenalkan sistem interkom, membolehkan banduan bercakap dengan saudara mara atau pelawat mereka.

Waktu itu juga, banduan sudah dibekalkan segala kemudahan asas seperti selimut, bantal, berus dan ubat gigi, sabun dan sebagainya.

Selepas hampir 30 tahun, sesuai peredaran zaman, penjara Malaysia semakin lengkap dengan macam-macam kemudahan lain termasuk menyediakan pembelajaran serta latihan kemahiran kepada banduan.

Kini  di penjara ada banduan mengikuti pelajaran bukan sahaja di peringkat SRP malah ke tahap ijazah dan diploma.

Mereka disediakan doktor dan pegawai perubatan daripada hospital bukannya dirawat oleh pegawai atau warden penjara.

datukibrahim

Ibrahim antara Ketua Pengarah yang bawa banyak perubahan di penjara

Seorang pegawai penjara pernah berseloroh,  kalau banduan sakit ada ambulan yang hantar ke hospital tetapi jika warden sakit, mereka kena pergi sendiri.

“Cuma kalau kami mati, van jenazah yang hantar,” ujarnya.

Banyak perkara di sebalik tembok batu itu jarang diketahui umum.

Selain kemudahan asas, bahan-bahan bacaan juga disedia, pendidikan agama, jasmani dan rohani tidak ketinggalan.

Banduan berpeluang belajar dan mendalami ilmu atau kemahiran yang mereka minati.

Jika mereka mengusahakan kraf atau kerja tangan dan kemahiran lain, mereka memperolehi hasil apabila usaha mereka dipasarkan.

Banduan juga disediakan makan minum yang cukup dan dibekalkan air panas untuk keperluan semasa.

Mereka boleh berjumpa lembaga pelawat penjara jika ada kemusykilan atau tidak puashati.

Mereka boleh berjumpa keluarga pada waktu lawatan dibenarkan selain pada hari-hari keraian seperti sambutan hari raya, krismas dan sebagainya.

penjarawanita

Banduan wanita juga dapat perhatian sewajarnya

Sebenarnya, banyak yang menarik mengenai kehidupan di sebalik tembok batu dan pintu besi itu.

Ada banduan keluar jadi usahawan kerana peluang kemahiran di pelajari, ada jadi pegawai kerajaan mahupun swasta kerana pendidikan di sana.

“Ada juga produk penjara wakil rakyat dan paling hebat jadi Ketua Menteri,” ujar pegawai tadi kepada penulis.

Siapa mereka, pembaca fikirlah sendiri.

Malah kata pegawai yang sudah 30 tahun berkhidmat itu, jabatan penjara pernah memikirkan untuk menyediakan bilik khusus kepada banduan supaya mereka dapat bersama-sama pasangan pasning-masing sebagai suami isteri.

Itulah antara catatan ringkas mengenai kehidupan di penjara yang digambarkan oleh sesetengah pihak ‘tempat malang’ atau ‘neraka’ tetapi penjara juga banyak merubah orang jadi manusia.

Penjara juga tempat sesetengah banduan ‘menumpang kasih’ kerana di situlah mereka diterima setelah masyarakat luar menolak mereka yang bergelar bekas banduan.

Penulis masih ingat temu bual dengan Pak Cik Mat yang cukup terkenal  di Penjara Pudu dulu.

Ketika itu usianya baru mencecah 40 tahun tetapi sudah 24 kali masuk dan keluar penjara.

Beliau sanggup mencuri benda-benda kecil hatta satu tin milo supaya ditangkap dan dihantar ke penjara semula selepas  keluar sebaik hukuman selesai.

Jawabannya kepada penulis, di penjara dia ada tempat tinggal, ada makanan dan ada kawan-kawan.

Di luar, beliau tidak diterima ahli keluarga atau saudara mara malah sering dipandang hina apabila ada mengetahui beliau bekas banduan.

Justeru itu, kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

Mencari kesalahan pihak lain teramat mudah tetapi mencari kebaikkan ibarat melihat semut hitam dalam gelap malam yang pekat.

Sesungguhnya juga, penjara adalah pusat pemulihan dan hukuman terhadap jenayah yang dilakukan.

Penjara bukan neraka dan pegawai serta warden penjara adalah manusia biasa yang menjalankan amanah tetapi berapa ramai tahu, hati mereka kadangkala terluka dengan tanggapan buruk sesetengah pihak dan cabaran terpaksa mereka lalui berdepan banduan segala macam ragam. -25/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 October 2013 12:40 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: