Kategori Berita Utama

Beri kelonggaran calon baru boleh berkempen

Tataetika syarat berkempen bagi pemilihan anggota  Majlis Tertinggi (MT) UMNO, sayap Pemuda, Wanita serta Puteri dilihat tidak memberi kelebihan kepada calon-calon baru untuk berkempen.

Pemimpin wanita muda BNBBC yang turut bertanding dalam pemilihan partikali ini menggesa syarat-syarat ketika berkempen dipermudahkan dimasa akan datang supaya calon-calon mempunyai lebih ruang dan peluang bertemu perwakilan.

rosnahsirlin

Rosnah calon nombor 10 kerusi MT dan nombor 09 Exco Wanita UMNO

Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perlu ada kelonggaran sedikit bagi calon-calon yang bertanding untuk lebih bebas berkempen dan menggunakan daya kreativiti masing-masing.

“Dari segi peraturan mungkin jangan terlalu disekat mereka…tujuan utama kita adalah untuk mengekang politik wang, itu saya setuju.

“Kita perlu juga melihat pendedahan calon-calon baru ini melalui media alternatif…tapi kalau kita sekat mungkin ini akan menyukarkan calon-calon,” kata Ketua Puteri UMNO itu ketika ditemui di Majlis Pengenalan Calon anjuran UMNO Wilayah Persekutuan, Jumaat.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai politik wang yang sering dikaitkan ketika proses pemilihan UMNO, Rosnah menyatakan agak sukar mengekang politik wang secara keseluruhan.

“Pasti akan berlaku walaupun ianya melibatkan perwakilan yang lebih ramai, tetapi politik wang adalah sesuatu yang subjektif,” kata calon Exco Wanita dan MT itu.

Selain itu beliau juga mencadang supaya pada masa akan datang, jadual majlis memperkenalkan calon dapat diperbaiki dimana lokasi dan masa program dapat disusun dengan lebih kemas.

“Kita faham kekangan yang dihadapi oleh ibu pejabat kali ini yang tidak memungkinkan perkara itu berlaku dimana kita terpaksa melakukan program tiga negeri dalam masa satu hari.

“Tapi ini agak menyukarkan sesetengah daripada calon-calon yang bertanding kerana mereka perlu bergegas dari satu negeri ke negeri yang lain dan tidak mengizinkan mereka berjumpa dengan para perwakilan dalam tempoh masa yang panjang,” ujar beliau.

Pendapat beliau turut disokong ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad yang meminta pada masa akan datang tempoh masa berkempen dapat dipanjang supaya mempunyai cukup masa untuk calon memperkenalkan diri.

noranibnbbc

Noraini calon nombor 01 Exco Wanita UMNO

“Kita memerlukan banyak masa, masa itu yang kita tidak ada sekarang ini memandangkan 12 Oktober ini kita sudah akan bermesyuarat disemua peringkat sayap dan 19 Oktober diperingkat bahagian.

“Itu sesuatu yang boleh difikirkan untuk kebaikan. Sesi pengenalan calon ini saya rasa sangat baik dan memberi peluang kepada semua untuk berkempan kerana sekarang ini kita tidak boleh berucap sewaktu berkempen,” kata bekas Ketua Puteri UMNO itu yang akan bertanding Exco Wanita dalam pemilihan kali ini.

Beliau juga meminta supaya kempen lebih terbuka dimasa akan datang kerana garis panduan yang ada kini memberi kelebihan kepada mereka yang berjawatan dan menyukarkan pendatang baru untuk mempromosi diri.

Jelas beliau, ruang kempen yang lebih terbuka dan tempoh masa yang panjang membolehkan calon-calon mendekati perwakilan manakala perwakilan pula ada lebih pilihan untuk menilai kredibiliti mereka yang bertanding.

“Kita panggil diri kita ini orang baru, bila hendak perkenalkan diri itu, itu yang mengambil masa. Patut boleh dilonggarkan untuk masa-masa akan datang.

“Ada calon-calon yang diperkenalkan, sebahagiannya saya sendiri pun tidak kenal…ada elok juga peraturan dilonggarkan sebab saya yang selalu berjumpa dengan mereka pun masih lagi tertanya-tanya…saya percaya diperingkat cawangan apatah lagi,” katanya.

Menurut beliau, jika isu politik wang yang dirisaukan, apa yang perlu dilakukan adalah mempertingkatkan pemantauan semasa proses pemilihan berlangsung.

“Apa yang penting adalah pemantau yang memantau…pemantau itu yang patut diketatkan bukannya kita kekang kempen,” tegas beliau.

Beliau turut meminta kepada perwakilan supaya memberi sokongan kepada beliau dan rakan-rakan BNBBC yang lain yang menawarkan diri untuk bertanding.

“Apa yang kami buat adalah untuk bangsa agama dan tanahair…jadinya kami ini mahu menabur bakti dan hendak berkhidmat untuk rakyat, masyarakat, agama dan bangsa kita.

“Saya harap siapa yang melihat kita pada hari ini berilah sokongan kepada kami,” mohon beliau. 5/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 October 2013 1:43 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: