Kategori Berita Utama

Beri peluang lebih ramai pemimpin pemuda bertanding – KJ

6 DIS: UMNO perlu mengetengahkan lebih ramai pemimpin daripada kalangan sayap pemuda pada PRU ke-14 bagi mengekalkan kerelevanan sebagai parti untuk orang muda pada masa hadapan.

“PRU lalu dalam 40 orang (pemuda) rasa saya, sudah tentu kita harap lebih  daripada itu untuk PRU kali ini,” kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin kepada media selepas selesai menyampaikan ucapan pergulungan sayap parti itu di Persidangan Agung UMNO (PAU) 2017, di PWTC, Rabu.

Bagaimanapun menurut beliau, perkara itu perlu diperhalusi terlebih dahulu kerana pelbagai faktor perlu diambil kira bagi merealisasikan lebih ramai pemimpin pemuda parti itu bertanding pada PRU akan datang.

“Jadi walaupun pemuda kita menyatakan sokongan untuk terima sesiapa sahaja apa jua keputusan, tapi sebelum keputusan itu dibuat kita juga menyuarakan pandangan bahawa supaya UMNO dapat dilihat  sebagai parti masa hadapan mestilah cukup calon-calon muda dan lebih ramai lagi calon-calon muda dan baru yang dapat diketengahkan pada pru kali ini,” tegasnya.

Jelasnya, setakat ini UMNO belum memuktamadkan berapa calon daripada Pemuda yang dipilih bertanding pada PRU ke-14 tahun hadapan.

“Saya tak pasti berapa ramai calon muda kali ini sebab kita nak kena tengok pada kualiti dan juga peluang kekosongan yang ada.

“Jadi tidak ada makna 20 peratus ke 30 peratus, saya kena tengok balik pada kekosongan, peluang yang ada dan penerimaan calon tersebut.

“Ramai juga yang kata calon itu mesti ada kemampuan, ada penerimaan di bahagian atau di kawasan masing-masing,” jelas Ahli Parlimen Rembau itu.

Pada masa sama, Khairy menegaskan UMNO tidak ketandusan pemimpin muda yang berkaliber, malah  hanya menunggu masa untuk diketengahkan.

“Ya saya fikir begitu, jika kita dengar daripada ucapan perbahasan daripada pelajar-pelajar universiti, mereka pun kata ada ramai dikalangan pimpinan pemuda UMNO dan mungkin juga di bahagian yang lebih hebat daripada pemimpin pemimpin pemuda yang diketengahkan oleh parti pembangkang.

“Cuma mungkin mereka tidak diketahui ramai kerana kesukaran dan sentiasa dibayangi, tetapi saya telah beri ruang kepada mereka supaya untuk lebih dikenali, lebih banyak pendedahan kepada mereka,” ujarnya yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Share This:




Berita Bertarikh pada 6 December 2017 8:19 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]