Kategori Berita Utama

Bersatu kukuhkan, perkuatkan kepimpinan sedia ada

29 APRIL: Pemimpin dan rakyat perlu bersatu memperkukuh dan memperkuatkan kepimpinan sedia ada bagi memastikan kesinambungan pentadbiran serta pembangunan untuk masyarakat dapat dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semangat bersatu padu yang terjalin itu akan dapat menjadi benteng kepada usaha pihak tidak bertanggungjawab yang mahu ‘mengusik’ perpaduan demi menjejaskan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Beliau turut mengingatkan pihak terbabit supaya tidak cuba meruntuhkan semangat setiakawan dan perpaduan itu kerana usaha tersebut hanya sia-sia.

“Kita perlu kuatkan kepimpinan dan pentadbiran sedia ada dengan memperlihatkan keikhlasan kita membantu rakyat.

“Biarkan ada unsur yang mengganggu. Orang yang mengganggu ini ada masalah mental, kita teruskan perpaduan dan komitmen demi kesinambungan pembangunan,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Antarabangsa Gasing dan Tamu Besar (Gata) Sipitang 2017 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad serta Menteri Perancangan Sumbet dan Alam Sekitar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Zahid berkata, tiada mana-mana pihak mampu memutuskan hubungan baik antara Sabah dan kerajaan Persekutuan sekiranya rakyat terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan sedia ada.

Katanya adalah rugi jika ada atau tokoh tertentu cuba merosakkan hubungan baik terjalin ketika ini yang memudahkan usaha membangunkan negeri ini dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Sabah tidak melayan mana-mana pihak yang cuba menggugat perpaduan di negeri ini.

“Hanya kerajaan yang kuat boleh membantu dan membawa pembangunan kepada rakyat.

“Sabah adalah untuk rakyat Sabah dan kita ikhlas dalam memperkuatkan kepemimpinan sedia ada… jangan cuba ganggu gugat atau menggoncangkan perpaduan sedia ada, jangan cuba robohkan.

“Sebaliknya kita perlu menolak mereka yang cuba berbuat demikian, yang ada unsur mahu mengganggu, biarkan mereka kerana mereka terganggu mental dan tidak perlu dilayan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan Persekutuan komited terus membantu kerajaan Sabah demi kepentingan rakyat di negeri ini.

“Kita tidak mahu sesebuah rumah rosak kerana ada anai-anai mahu merosakkan dinding atau binatang buas merosakkan bumbung dan tikus cuba merosakkan lantai.

“Sebaliknya kita perlu perbetulkan dinding, bumbung dan lantai jika sayangkan rumah dan jika sayangkan Malaysia serta Sabah,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 29 April 2017 1:13 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: