Kategori Analisa Isu Semasa

Bersediakah PPBM bekerjasama dengan PAS dan PKR?

1 MAC: Tentu tidak sukar memahami kenapa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak hadir pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan soal agihan kerusi pada PRU 14.

Sebab jelas adalah kerana PPBM masih cuba mendampingi PAS kerana pimpinan tertinggi parti itu kecuali Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad menyedari bahawa PPBM lebih diterima jika berjuang bersama-sama parti Islam itu.

Mesyuarat PH itu tidak melibatkan PAS, yang telah berkeras bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan PAN.

Bagaimanapun, PAS masih beranggapan PKR bersama-sama mereka sedangkan PKR dalam diam-diam sudah merancang pembahagian kerusi dengan DAP dan PAN tanpa membabitkan PAS.

Mungkin juga PPBM mahu kata putus daripada PAS sama ada bersedia bekerjasama dengan mereka jika PKR masih mahu mengekalkan hubungan politik bersama-sama PAS.

Jika PPBM, PAS dan PKR bergabung dalam entiti lain, tentu ini dapat menyelesaikan kemelut pertembungan sesama sendiri antara parti pembangkang pada PRU 14.

Apapun, kemungkinan ini tidak dapat dinafikan kerana segala-galanya tidak mustahil di dalam politik.

Justeru, apabila Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir  meminta diadakan satu pertemuan dengan parti-parti komponen PH bagi membincangkan prinsip asas rundingan agihan kerusi untuk PRU14, ia tidak bermakna parti itu bersedia bersama PH.

PPBM boleh menjadi suara PAS dalam pertemuan itu nanti.

Menurut Mukhriz, PPBM telah menyediakan penyelidikannya sendiri mengenai pembahagian kerusi, yang akan dibincangkan dengan PH.

Persoalannya adakah komponen PH bersedia dengan permintaan kerusi oleh PPBM?

Dalam isu ini, jika PH gagal memenuhi tuntutan PPBM, mereka tentu akan mengenepikan parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Ini sekaligus akan membuka ruang kepada PPBM bekerjasama dengan PAS.

Dan PKR pula, jika enggan bersama DAP dan PAN, mereka boleh memilih untuk berjuang bersama PPBM dan PAS.

Share This:




Berita Bertarikh pada 1 March 2017 1:29 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]