Kategori Berita Utama

Ini komen Zahid dan Mukhriz

Gandingan regu tiga Naib Presiden UMNO yang baharu diberi mandat semula pada pemilihan Majlis Tertinggi UMNO pada Sabtu diyakini mampu memikul misi meremajakan parti itu, bagi memastikan ia terus relevan serta mendapat sokongan generasi muda.

Keyakinan itu dizahirkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) awal pagi Ahad sebaik sahaja kemenangan beliau dan dua lagi penyandang, Datuk Seri Shafie Apdal serta Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein disahkan.

Menurut Zahid, walaupun berusia, trio Naib Presiden Umno itu sebenarnya memiliki aspirasi dan pemikiran orang muda.

zahidisteri

Zahid turut ditemani isterinya ketika tiba di PWTC sebaik sahaja keputusan tidak rasmi kejayaan beliau mempertahankan kerusi Naib Presiden diketahui.-Foto HILIMI JAAFAR

“Biarpun kami terdiri daripada tokoh atau orang-orang politik yang berumur lebih daripada 50 tahun tetapi pemikiran, cita rasa dan gerak kerja yang dilakukan tetap mengambil kira cita rasa dan pola pemikiran generasi muda.”

“Ini penting memandangkan terdapat 6.5 juta pengundi baru pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Zahid, 60, bersama-sama Shafie, 56, dan Hishammudddin, 52, yang dipilih semula menduduki kerusi itu bagi penggal kedua berkata, pemilihan semula itu juga memberi peluang kepada mereka untuk terus menegakkan cita-cita orang Melayu dan kaum Bumiputera yang diwakili UMNO.

Pemilihan kali ini menyaksikan Zahid memperolehi 185 undi, manakala Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (174 undi) dan Hishammuddin (Menteri Pertahanan) 100 undi.

Trio itu menewaskan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang memperoleh 91 undi, serta bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang masing-masing mendapat tujuh undi.

Sementara itu Mukhriz berpuas hati dengan pencapaian peribadinya dalam pemilihan UMNO biarpun gagal memecahkan status quo untuk menduduki satu daripada kerusi Naib Presiden parti itu.

mukhriznp

Kehadiran Mukhriz di PWTC sebelum pengumuman rasmi keputusan pemilihan kerusi Naib Presiden diumumkan menarik perhatian media.

“Ini adalah kejayaan bagi saya kerana tidak menyangka mampu untuk sampai ke tahap setinggi ini dalam konteks pemilihan parti.

“Ini jelas menunjukkan UMNO sebuah parti yang telus dan terbuka selaras dengan transformasi,” katanya kepada pemberita di PWTC.

Biarpun gagal Mukhriz berpuas hati atas sokongan yang diberikan perwakilan hingga beliau meraih jumlah undi yang lebih tinggi berbanding Hishammuddin, sekaligus membolehkan beliau memberikan saingan sengit.

“Ini adalah pertama kali saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Apabila dilihat sokongan berdasarkan undi yang diperolehi, ia adalah satu kejutan buat diri saya,” katanya yang ditemui selepas mengadakan pertemuan ringkas dengan Ahli Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013 di Pusat Media Pemilihan UMNO di PWTC.-20/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 October 2013 3:30 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: