Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

BN Johor lancar 230 tawaran manifesto untuk pengundi

14 APRIL: Barisan Nasional (BN) Johor hari ini melancarkan manifestonya yang merangkumi 230 tawaran untuk menarik pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei depan yang membabitkan lima kluster utama atau dikenali sebagai ‘Johor Hi-5’.

Manifesto dengan tema ‘Team Johor Untuk Dekad Baharu: Tawaran Masa Hadapan’, itu dilancarkan Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada), hari ini.

Lima kluster utama yang diberi penekanan adalah ekonomi nan sejahtera; penyediaan prasarana komprehensif; pembangunan minda, bakat dan kemahiran; kepemimpinan berprestasi tinggi serta masyarakat lestari; serta Islami dan berbudaya.

“Ini merupakan tawaran kami dari pasukan BN dan tawaran ini disusun dengan dipimpin oleh tiga sasaran iaitu memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan bangsa Johor secara keseluruhannya, memposisikan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu selatan dan mempersiap serta melonjakkan Johor sebagai pesaing kepada semua, terutamanya jiran kita Singapura,” katanya ketika berucap melancarkan manifesto itu.

Antara tawaran yang dikemukakan BN Johor kepada pengundi negeri itu termasuklah pemberian bantuan RM500 kepada Orang Muda Johor (OMJ) yang kali pertama berkahwin untuk pasangan muda yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

BN Johor juga akan memperkenalkan program Pasport Pertama Bangsa Johor, iaitu bantuan RM50 untuk permohonan mendapatkan pasport kali pertama bagi OMJ berusia 30 tahun ke bawah, terhad kepada 3,000 penerima setahun.

Bagi menyokong strategi FELDA 2.0, BN Johor turut berjanji akan menyelesaikan isu perwarisan di FELDA dalam tempoh lima tahun.

“Bagi berhadapan dengan kos sara hidup, kesejahteraan Golongan B40 dan Kelas Menengah di Johor akan kita tingkatkan. Ini akan kita lakukan dengan, antaranya melalui pemberian RM50 simpanan pendidikan kepada setiap bayi kelahiran Johor,” kata Khaled ketika berucap melancarkan manifesto itu.

Selain itu, BN Johor juga menawarkan pemberian wang saku RM100 kepada pelajar tahun 1 mengikut kelayakan, penubuhan Pusat Asuhan Muafakat Johor, dan memperluas perkhidmatan percuma Bas Muafakat Johor ke kawasan sekolah, perumahan dan industri.

Khaled turut mengumumkan pembinaan taman tema sains fiksyen pertama di dunia, Sci-Fi Universe pada tahun 2019 dengan pelaburan RM400 juta.

Selain itu, BN Johor akan memperkenalkan Insurans Bencana Alam Johor untuk mangsa bencana alam selain menambah baik sistem amaran banjir.

Khaled turut berjanji akan mewajibkan pengisytiharan harta dan aset untuk barisan Exco dan penjawat awam Johor kepada Menteri Besar, serta mewajibkan lafaz Ikrar Anti Rasuah dalam kalangan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan semua 5,000 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau turut mengumumkan penyediaan tapak khusus untuk membina Kompleks Wanita Tun Fatimah sebagai pusat niaga, kompleks busana, pusat kaunseling dan pembinaan kapasiti wanita di negeri ini sebagai tawaran untuk wanita di Johor.

Ends.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 April 2018 3:06 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: