21 APRIL: Barisan Nasional (BN) Selangor membidas pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa tindakan Kerajaan Persekutuan membatalkan kelulusan projek berskala kecil di Peringkat Majlis Tempatan (BP1) di kawasan parlimen mereka adalah bersifat diskriminasi.
Penyelaras ADUN BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mengesa pembangkang mencermin diri sebelum membuat tuduhan melulu terhadap kenyataan dibuat Menteri kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar itu.
ADUN Batang Kali itu menjelaskan bahawa keputusan Kerajaan Pusat itu perlu diperhalusi oleh pembangkang.
“Bukan isu besar, kita cuma dahulukan kawasan yang kita rasa perlu dahulukan dan yang perlukan lebih perhatian.
“Sebagai contoh di Selangor, kita buat pembangunan di kawasan BN, terutamanya kawasan yang tidak dipedulikan PH,” lapor FMT, Jumaat.
Mat Nadzri sebaliknya menyifatkan Kerajaan Selangor dibawah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menganaktirikan kawasan BN dengan memberi peruntukan lebih kecil daripada kawasan dimenangi PKR, PAS, DAP dan PAN
“Kalau mereka persoal tindakan Noh itu tidak adil, kerajaan Selangor juga tidak adil.
“Wakil rakyat BN hanya diberi RM200,000 sedangkan wakil rakyat mereka dapat RM600,000 hingga RM700,000. Jadi, kenapa perlu persoal tindakan KPKT?”
Noh sebelum ini membatalkan semua kelulusan projek BP1, iaitu projek berskala kecil di semua kawasan Parlimen yang dikuasai pembangkang dan disusuli kritikan oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati.
Bagaimanapun, Noh menjelaskan keutamaan kepada kawasan Parlimen BN disebabkan peruntukan yang terhad.