Kategori Berita Utama

MP kerajaan kecam hebat tindakan pembangkang boikot sidang Dewan

11 MAC: Tindakan semua 89 Ahli Parlimen pembangkang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada Selasa dikecam hebat oleh Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Sepuluh Ahli Parlimen BN bangun mencelah berhubung perkara itu ketika Pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad membahaskan titah ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, hari ini.

Sahrir dalam ucapannya antara lain berkata tindakan ahli parlimen pembangkang itu tidak beretika, tidak kena pada tempatnya serta mencabul mandat yang diberikan rakyat.

Menurut beliau, ini kerana tindakan boikot itu dilakukan atas alasan keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

TSS Boycot“Kalau mereka boikot kerana membantah sesuatu yang berkaitan dengan Parlimen, atau dengan kerajaan, atau kerana UMNO, BN…mungkin saya boleh faham dan kita boleh terima.

“Tetapi mereka (pembangkang) adalah pihak yang sering melaungkan kononnya demokrasi hanya akan benar-benar wujud jika konsep pemisahan kuasa antara perundangan (Parlimen) dengan kehakiman (Mahkamah)  benar-benar diamalkan tanpa sebarang campurtangan.

“Jadi kenapa sekarang mereka campur-adukkan antara ketidakpuasan hati terhadap mahkamah dengan sidang Dewan Rakyat,” soal Shahrir.

Antara yang terkesan dengan tindakan biadap pembangkang dan bangun mencelah ialah Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad.

Katanya, situasi di mana tiada seorangpun ahli Parlimen pembangkang tidak hadir pada sidang Dewan adalah sesuatu yang luar biasa atau luar tabii.

Manakala Ahli Parlimen Kinabatangan dan Lenggong, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Datuk Shamsul Annuar Nasarah mempersoalkan sama ada semua MP  pembangkang itu menghantar notis untuk tidak hadir kepada Yang Dipertua Dewan  Rakyat serta sama ada tindakan memberikan alasan untuk menghadiri penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang adalah wajar.

Shahrir kemudiannya mengulas, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang juga diadakan bukan berpunca daripada tindakan UMNO, BN, Kerajaan mahupun mahkamah tetapi oleh wakil rakyat PKR sendiri.

Sehubungan itu alasan untuk semua 89 ahli Parlimen pembangkang untuk hadir ke Kajang dan membelakangkan sidang Dewan Rakyat yang menjadi tugas hakiki mereka adalah kurang wajar.

“Lagipun kalau semua mereka pergi ke penamaan calon saya boleh juga terima kerana mereka ahli politik dan berada di bawah pakatan yang sama, tetapi nampaknya tidak semuanya kelihatan di sana dan ini menunjukkan mereka sedang berada di tempat lain,” kata Shahrir.

Malah kata ahli Parlimen Johor Bharu itu, ini membuktikan pembangkang mempunyai nafsu yang berlainan.

Ahli Parlimen lain yang turut bangun mengambil bahagian mengecam pembangkang ialah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said, Datuk Noor Ehsanuddin Amin Narrashid (Kota Tinggi), Datuk Osman Aziz (Jerlun), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Rompin), serta Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).

Berikut adalah rakaman penuh ucapan Shahrir, termasuk berhubung kecaman terhadap tindakan biadap pembangkang di Dewan Rakyat pada Selasa.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 March 2014 2:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: