Kategori Berita Utama

Boleh bekerjasama tetapi PAS perlu hormati komponen BN

8 DIS: UMNO bersedia bekerjasama dengan PAS tetapi dalam masa sama parti itu harus menghormati rakan-rakan UMNO di dalam komponen Barisan Nasional.

Ini kerana UMNO tidak boleh mengorbankan rakan-rakan di dalam BN hanya untuk mengambil hati parti PAS, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

“UMNO boleh berkompromi dalam beberapa perkara tetapi PAS harus menghormati rakan-rakan komponen BN dan menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama yang mengamalkan toleransi serta mengambil berat golongan minoriti,”  katanya.

Menurut Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, jika PAS gagal menghormati dasar-dasar itu, UMNO tidak boleh berkompromi dengan mereka.

Bagaimanapun beliau yang ditemui ketika melawat laman media berkata, sehingga ke hari ini belum wujud sebarang kerjasama langsung antara UMNO dan PAS.

Ditanya kerjasama kedua-dua parti itu di Kelantan, Annuar percaya PAS juga sedang memikirkan untuk bergerak sendirian bagi mempertahankan Kelantan dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

“Jadi terpulang kepada mereka. Tugas utama kita (UMNO) ialah mendapatkan Kelantan kembali. Bukan sahaja merampas balik Kelantan tapi kami mahu membentuk kerajaan yang kuat. Itu yang penting.

“Sekalipun kami (UMNO) dapat Kelantan dan PAS boleh bekerjasama membentuk kerajaan yang kuat, kita tentu dapat memberikan perkhidmatan baik kepada rakyat,” ujarnya.

Annuar berkata, selagi Kelantan kekal di bawah pemerintahan PAS, sebuah parti yang lemah dan selama 22 tahun gagal membuktikan sebarang kejayaan, UMNO akan berusaha memenanginya semula.

“Kami mesti dapatkan kembali Kelantan sebab kami yakin BN boleh memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negeri itu.

“Walaupun jika ada pertandingan tiga penjuru, kita mesti dapatkan balik. Kita harap rakyat akan memberi peluang untuk kita merampas kembali Kelantan ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar menyarankan agar media atau sesiapun mengambil peduli tentang ahli DAP Zaid Ibrahim.

“Bagi saya ini bukan isu. Apa local standi Zaid? Ini hanya pasal pendapat satu orang yang tidak pegang jawatan apapun termasuk majlis tertinggi DAP.

“Dia sudah hilang kewibawaan samasekali. Jadi saya fikir tidak ada merit untuk nak bincang apa yang dia cakap,” katanya.

Diminta mengulas kemurkaan Sultan Selangor yang bertitah dua hari lepas bahawa Zaid elok balik ke Kelantan, Annuar berkata media atau sesiapa patut berhenti melayan Zaid.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 December 2017 3:42 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: