Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Peserta MANTAP VII: Bukan mudah menjadi Ahli Parlimen

29 NOV: Kumpulan Internship Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) ketujuh bukan sahaja didedahkan dengan tugas sebenar ahli parlimen, malah mereka turut diberi pengalaman berharga dengan merasai pahit jerih bagaimana tanggungjawab yang terpaksa dipikul seorang insan yang bergelar wakil rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama pemenang Anugerah Khas Pelatih MANTAP (VII) pada Majlis Penutup Program Internship Barisan Nasional Siri ke-7 di Parlimen. Turut serta Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Bagi peserta MANTAP yang menerima Anugerah Khas Peserta MANTAP, Wan Aida Liyana Wan Abdillah, 24, menyifatkan kehidupan seorang ahli parlimen tidak indah seperti yang digambarkan, tetapi sarat dengan tanggungjawab bagi memastikan kehidupan rakyat terus terbela terutamanya rakyat di kawasan parlimen masing-masing.

“Kita nampak seorang ahli parlimen itu seperti gah, popular dan glamour pada zahirnya, tapi kita tak nampak bagaimana mereka ni berhempas pulas, bersengkang mata, memerah keringat dan otak dalam memastikan aspirasi negara membela nasib rakyat terus terpelihara.

“Saya rasa bertuah kerana dapat melihat sendiri bagaimana ahli parlimen membawa isu-isu masalah setempat, berusaha menjaga kebajikan rakyat di parlimennya menerusi hujah yang dibahaskan di Dewan Rakyat.

Wan Aida Liana Wan Abdillah, pelatih MANTAP kepada Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang memenangi Anugerah Khas Peserta MANTAP (VII) pada Majlis Penutup Program Internship Barisan Nasional Siri ke-7 di Parlimen

“Ia tidak mudah seperti memetik jari, dan saya tabik kepada mereka di atas kesanggupan mereka memikul tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat,” kata mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu yang telah menjadi pelatih kepada Ahli Parlimen Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Sementara itu bagi Muhammad Syahmi Ashraf Zul, 24 pengalaman yang diperolehi selama sebulan setengah sebagai peserta MANTAP telah membuka matanya selama ini bagaimana sukarnya usaha kerajaan memastikan ekonomi Malaysia sentiasa berada dalam kedudukan stabil.

Menyifatkan dirinya sangat bertuah kerana diberikan pendedahan terbabit secara langsung dengan Kementerian Kewangan terutamanya mengikuti perjalanan Bajet 2018 sehingga diluluskan Dewan Rakyat semalam, beliau menjelaskan, bukan mudah kerajaan menyediakan bajet tersebut yang dapat dirasai segenap lapisan masyarakat ketika negara terpaksa berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Muhammad Syahmi Ashraf Zul, pelatih MANTAP kepada Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani yang memenangi Anugerah Pemikir Terbaik pada Peserta Majlis Penutup Program Internship Barisan Nasional Siri ke-7 MANTAP (VII) di Parlimen

“Saya dapat lihat kerja-kerja dibelakang tabir bagaimana rumitnya kakitangan Kementerian Kewangan menyediakan fakta, menyediakan jawapan hujah pembangkang bagi memastikan Bajet yang dibentangkan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

“Selama ini kita mudah berkata-kata terutamanya pembangkang terhadap apa yang kerajaan beri kepada rakyat, hakikatnya mereka tidak tahu betapa sukarnya pemimpin negara terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memastikan ekonomi Malaysia terus dipacu walaupun dunia sedang menghadapi ekonomi yang tidak stabil.

“Jadi saya akan kongsikan pengalaman saya dengan rakan-rakan saya di luar sana bahawa untuk mentadbir negara ini, pentingnya kita memilih kerajaan yang telah mempunyai trek rekod bukan hanya tahu bercakap kosong menunding jari mencari salah pihak lain,” katanya.

Syahmi Ashraf, dari Institut Teknologi Maritim Netherlands (NMIT) adalah pelatih bagi Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sementara itu penerima Anugerah Perintis MANTAP, Muhammad Anas Ahmad Siati, 23, berkata bukan calang-calang orang layak menjadi seorang wakil rakyat kerana pelbagai tekanan dan gangguan emosi adalah cabaran yang terpaksa dihadapi hampir setiap hari oleh seorang wakil rakyat.

Muhammad Anas Ahmad Siati, pelatih MANTAP kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bergambar bersama Anugerah Perintis Barisan Nasional yang dimenangi beliau pada Majlis Penutup Program Internship Barisan Nasional Siri ke-7 MANTAP (VII) di Parlimen

“Maka sebab itu saya melihat selain mesti mempunyai latar belakang pendidikan yang bagus, seorang pemimpin mesti mempunyai ciri-ciri karisma kepimpinan dalam menangani pelbagai tekanan dan cabaran yang terpaksa mereka harungi bagi memastikan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dapat ditunaikan dengan sebaiknya.

“Jadi bukan populis yang kita cari, tetapi kita terutama orang muda mahu pemimpin yang berpendidikan, bijak, popular dan mempunyai aura dalam mewakili suara kita membangkitkan segala permasalahan rakyat terutamanya di Dewan Rakyat,” kata mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UniTEN) yang menjadi pelatih MANTAP kepada Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Setelah hampir dua bulan, seramai 100 graduan yang menyertai MANTAP VII akan mengakhiri secara rasmi tugas mereka sebagai pelatih kepada ahli parlimen Barisan Nasional (BN) esok.

Kesemua peserta MANTAP itu telah bersama Ahli Parlimen BN bagi memahami dan mempelajari usaha kerajaan dalam mendekati rakyat serta tugas seorang Ahli Parlimen.

Majlis penutupan MANTAP siri ketujuh telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Parlimen tengahari tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Anugerah Perintis Barisan Nasional kepada Muhammad Anas Siati

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 29 November 2017 4:41 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: