Kategori Analisa Isu Semasa

BUKAN SALAH SULTAN, DAP GELOJOH PUNCA KRISIS PERAK

25 FEB : Selain kes Liwat 11 babitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kes ketua pasukan pembelaannya atau peguam Karpal Singh yang didapati bersalah menghina Sultan Perak  ketika ‘krisis Perak’ 2009 turut menjadi tumpuan.

Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Paduka Azman Abdullah, berkata pihak pembelaan gagal membentuk keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

“Pendakwaan sudah membuktikan kes selepas mahkamah ini mendengar keterangan saksi pembela, penghujahan kedua-dua pihak dan penghakiman Mahkamah Rayuan,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 11 Mac untuk menjatuhkan hukuman bagi membolehkan pembela menyediakan mitigasi untuk mendapatkan hukuman lebih ringan.

shahrirsamad

Shahrir…Tidak mustahil krisis Selangor pula kerana sikap tamak PKR

Tidak perlu dipersoal keputusan Yang Arif Hakim dan hukuman bakal diterima Ahli Parlimen Bukit Gelugur itu yang disabitkan di bawah Akta Hasutan.

Namun, kecaman berbaur hasutan terhadap Sultan Perak ekoran krisis politik di negeri itu pada 2009 termasuk menuduh sultan menyalahguna kuasa oleh Karpal Singh kerana tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak sepatutnya berlaku sekiranya DAP bijak berpolitik.

Sebaliknya, selepas Pakatan Rakyat (PR) merampas Perak, DAP bersikap gelojoh dan tamak jawatan apatah lagi kerana tidak dapat mengisi kerusi Menteri Besar kerana tidak ada wakil rakyat Melayu dalam parti itu di DUN Perak..

Ini termasuk melantik Adun Tronoh S.Sivakumar sebagai Speaker DUN Perak.

Sepatutnya, DAP boleh melantik dari kalangan bukan Adun seperti dilakukan di Pulau Pinang ketika itu bagi menjamin semua Adun boleh mengundi jika berlaku pertembungan di dalam DUN.

Mengenepikan tindakan tunding jari kepada Sultan Perak dalam krisis tersebut oleh Karpal Singh, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad melihat  perspektif inilah punca kejatuhan kerajaan PR di Perak pada 2009.

Menurut beliau, sikap gelojoh dan tamak inilah, DAP menyebabkan PR kurang majoriti dalam DUN Perak.

Untuk rekod, selepas PRU 12,  Barisan Nasional (BN)  hanya memperolehi 28 kerusi DUN, manakala PR mendapati 31 kerusi dengan pecahan DAP 18, PKR (7) dan PAS enam kerusi.

Dengan Sivakumar dilantik Speaker, PR hanya tinggal 30 Adun yang boleh mengundi di dalam Dewan Undangan Negeri bagi berdepan 28 Adun BN.

karpalroket

Karpal Singh berdepan hukuman mahkamah kerana menghina Sultan Perak

 Menurut Shahrir, menyedari bahaya itu, PKR berjaya memancing Adun Bota BN, Datuk Nasarudin Hashim ‘lompat ‘ menyertai parti itu bagi mengukuhkan kedudukan PR Perak dengan kelebihan tiga undi berbanding dua sebelumnya sekaligus kerusi PR bertambah kepada 31 tidak termasuk kerusi Sivakumar.  .

Semua maklum, krisis Perak bukan kerana Nasarudin ‘lompat’ parti tetapi bertitik tolak dengan dua Adun PKR, Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Jailu keluar parti dan umum sebagai calon Bebas.

“Ini bermakna PR hilang dua undi, tinggal  29 undi atau kerusi sebab Sivakumar tak boleh mengundi. BN pula tinggal  27 kerusi dan kembali kepada 28 selepas Nasarudin patah semula ke dalam BN,” jelas Shahrir.

Beliau berkata, keadaan semakin kritikal apabila Adun DAP Jelapang Hee Yit Fong keluar parti dan juga jadi wakil rakyat Bebas sekaligus PR hanya memiliki 28 kerusi atau undi sama dengan BN.

Shahrir mengandaikan, sekiranya DAP tidak melantik Sivakumar sebagai Speaker, PR masih mempunyai 29 undi dan krisis Perak tidak akan berlaku jika undian bagi membubarkan DUN dilakukan kerana PR masih ada kelebihan satu undi.

Pandangan Shahrir ini berdasarkan kemungkinan tiga Adun PR yang keluar akan kekal ‘bebas’ atau berkecuali sekiranya berlaku pengundian.

“Peristiwa inilah mulakan krisis politik di Perak dan bukan keputusan Sultan Perak untuk menolak permintaan membubarkan DUN negeri itu,” ujar ahli Parlimen Johor Bharu itu mengulas tindakan Karpal Singh mengaitkan Sultan Perak dalam krisis berkenaan. .

Katanya, tindakan Karpal Singh menyalahkan Sultan dari sudut undang-undang hanya berasaskan kepada interpretasi semata-mata.

“Interpretasi Karpal Singh masih bolih dipertikaikan, apatah lagi interpretasi peguam yang juga ahli parti politik,” katanya.

Ada benarnya pandangan Shahrir mengenai kegelojohan PR khususnya DAP selepas mereka menawan Perak.

Tentu ramai masih ingat kisah ‘Kerajaan Bawah Pokok’ apabila Adun-Adun PR mengadakan persidangan DUN setelah dihalang masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan kerana tidak dapat perkenan Sultan Perak pada 3 Mac 2009.

Persidangan di bawah pokok itu meluluskan 3 usul tetapi diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah.

Selain sikap gelojoh dan tamak ini, PR hilang kerajan Perak kerana Anwar sendiri menguar-uarkan tentang ‘lompat parti’ melalui Pelan 16 Sept 2008.

Sebab itu, sebaik BN mengambil alih semula Perak, mereka melantik A. Ganesan daripada MIC sebagai Speaker kerana tidak mahu terperangkap kesilapan dilakukan DAP yang melantik Sivakumar.

Dengan Ganesan sebagai Speaker, BN akhirnya kekal memerintah dengan 28 Adun dan disokong tiga Adun Bebas yang mesra BN malah bilangan itu bertambah dengan Adun DAP Malim Nawar Keshvinder Singh turut menyokong BN selepas keluar parti pada 15 Jun 2010.

Jelaslah, krisis Perak berpunca sikap gelojoh DAP dan tidak mustahil krisis Selangor pula akan berlaku selepas ini jika sikap gelojoh dan tamak Anwar serta pemimpin-pemimpin PKR Selangor berterusan selepas ‘Langkah Kajang’. –bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 February 2014 5:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: