Kategori Ekonomi

Bumiputra akan dibantu ceburi industri perkayuan

21 APRIL: Lembaga Perindutrian Kayu Malaysia (MTIB) akan terus membantu usahawan Bumiputra menjalankan perusahaan berasaskan kayu, sekaligus menggalakkan bidang ini diceburi dan menjadi pilihan ramai.

Ini terbukti, menurut Ketua Pengarah MTIB Datuk Dr Jalaluddin Harun, sejak 2015 MTIB telah mengadakan beberapa program untuk melahirkan usahawan perkayuan yang berdaya saing dan mencapai sasaran piawaian antarabangsa.

“Kita mengadakan program berbentuk ‘business coaching’ di mana usahawan bumiputra diberi penerangan lanjut dan strategi perniagaan untuk meningkatkan aspek urus tadbir syarikat dari pelbagai aspek.

“Sasaran peningkatan juga ditetapkan agar prestasi setiap syarikat tidak berada ditakuk sama.Usahawan akan didedahkan dengan pengurusan perniagaan yang lebih baik bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian ‘Wood and Lifestyle Fair’, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengerusi MTIB Anyi Ngau.

Tambah Jalaluddin lagi, sebanyak 20 usahawan Bumiputra telah menjalani Program Pengurusan Lean sejak 2014

“Program ini mengambil masa 6 bulan dan bertujuan  untuk menambah baik proses kerja di bahagiab pengeluaran seperti plan atur lantai, pengurusan logistik, penyelenggaraan dan sebagainya.

“Hasilnya memberi pulangan kepada usahawan dengan dapat mengurangkan pembaziran, memperkasakan pekerja dan menghasilkan produk yang lebih baik,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, untuk menggalakkan syarikat Bumiputra ini mencapai KPI yang telah ditetapkan, MTIB telah memberi bantuan dalam bentuk peralatan mesin-mesin kepada usahawan Bumiputra.

“Sebanyak 50 syarikat telah diberi bantuan pinjaman mesin berteknologi tinggi. Antara mesin tersebut ialah CNC Boring, CNC 3 axis & 5 axis, auto edge bander, multi-rip saw dan lain-lain lagi,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai  ‘Wood and Lifestyle Fair’ yang akan berlangsung selama 3 hari ini, Jalaluddin berkata, antara objektifnya ialah membantu usahawan bumiputra memperkenalkan produk berkaitan perkayuan kepada pengguna domestik.

“Tahap prestasi pengusaha Bumiputra amat rendah iaitu 1.74 peratus daripada nilai eksport negara.

“Maka adalah penting MTIB dan pihak yang berkaitan berusaha mencari inisiatif dalam memajukan industri perkayuan negara dan meningkatkan tahap daya saing di pasaran tempatab dan antarabangsa,” jelasnya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 21 April 2017 4:54 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]