Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Bunuh diri boleh dielak jika sekolah ikut SOP

1 FEB: Kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua meninggal dunia selepas cuba membunuh diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit milik seorang guru minggu lalu, sepatutnya dapat dielakkan.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pihak sekolah dan guru sepatutnya mematuhi prosedur dalam mengendalikan kes berkaitan masalah disiplin di sekolah.

M. Vasanthapiriya, 13, cuba membunuh diri Rabu lalu selepas dituduh mencuri telefon bimbit iPhone 6 gurunya.

Vasanthapiriya meninggal dunia pagi tadi selepas seminggu berada dalam keadaan koma.

“Saya fikir kerajaan berpandangan bahawa perkara seperti ini tidak boleh berlaku dalam sistem sistem sekolah.

“Ia berbalik kepada sistem sekolah dan prosedur dalam menangani situasi melibatkan pelajar.

“Sekolah mempunyai SOP untuk diikuti, dan kejadian seperti ini boleh dielakkan jika prosedur itu dipatuhi,” kata Subramaniam ketika melawat keluarga Vasanthapiriya di Kampung Tonghai di Nibong Tebal hari ini.

Jelas beliau, guru perlu menangani masalah disiplin dengan cara yang betul.

“Guru tidak boleh menjadi seperti polis atau penyiasat. Jika ia melampaui batas, kita akan berdepan situasi seperti ini,” katanya.

Subramaniam juga berkata sekolah perlu mempunyai guru kaunseling dan mengingatkan guru supaya sentiasa berjaga-jaga apabila berurusan dengan pelajar.

“Pada umur sebegini, pelajar menghadapi tekanan yang tinggi. Masing-masing bertindak balas terhadap sesuatu situasi dengan cara yang berbeza.

“Pelajar yang lebih lembut boleh mempunyai respon yang berbeza. Kalau kita tidak sedar atau beri perhatian, kita akna hadapi situasi seperti ini,” katanya.

Subramaniam berharap tragedi ini akan menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Hari ini kita kehilangan seorang pelajar berusia 13 tahun atas sebab yang tidak dapat dipastikan. Perkara seperti ini tidak patut berlaku,” katanya.

Dalam kejadian 24 Januari lalu, pelajar itu, dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik seorang guru sekolahnya.

Kejadian itu disedari bapanya yang membawa remaja itu ke hospital tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada jam 3.30 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad, berkata polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan berhubung kejadian berkenaan.

“Kita dimaklumkan pelajar berkenaan dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) oleh keluarganya pada 24 Januari lalu sebelum dipindahkan ke HSJ bagi rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia hari ini dan siasatan dibuat sebaik menerima maklumat dari pihak hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, keluarga mangsa tidak dapat menahan pilu sebaik dimaklumkan pelajar terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ibu saudara mangsa, A Latitha, 43, berkata ibu dan bapa mangsa terlalu sedih selepas melihat anak mereka bertarung nyawa sejak dirawat pada 24 Januari lalu.

Katanya, keadaan anak saudaranya menampakkan tanda positif Isnin lalu, namun merosot sejak malam tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi.

“Dia anak baik dan rapat dengan keluarga serta selalu menceritakan perkara yang berlaku kepada saya.

“Kehilangannya amat dirasai keluarga, apatah lagi cara kematiannya menyayat hati pada usia muda,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSJ, petang tadi.

Lalitha berkata, mayat anak saudaranya akan dibawa pulang ke kediaman mereka di Nibong Tebal selepas selesai bedah siasat sebelum disemadikan esok.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 February 2018 8:57 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: