Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Cadangan Akta Sumbangan, Perbelanjaan Politik (PDEA) sedang disediakan

15 APRIL: Kertas kabinet mengenai cadangan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) sedang disediakan, yang akan membuka jalan untuk penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal bagi merangka undang-undang baru itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata beliau telah selesai berunding mengenai undang-undang baru itu dengan semua parti politik beberapa minggu yang lalu, dan langkah seterusnya ialah penyediaan kertas kabinet.

“Kita telah berjumpa dengan semua parti politik, yang terakhir ialah DAP. Jadi, kita dalam proses menyediakan kertas kabinet. Sebaik sahaja ia diluluskan, kita akan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal untuk merangka (rang undang-undang).

“Kami berharap (untuk menubuhkan jawatankuasa itu) pada tahun ini,” katanya.

PDEA merupakan salah satu daripada 32 syor Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai Pembiayaan Politik yang dipengerusikan oleh Low sendiri.

Antara lain, undang-undang yang dicadangkan itu akan menghapuskan had perbelanjaan untuk calon pilihan raya, tetapi mengenakan peraturan baru bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dalam pembiayaan politik dan perbelanjaannya.

Ia juga akan mengharamkan sumbangan tanpa nama dan derma asing, yang akan dirampas oleh ‘Pejabat Pengawal Sumbangan Politik’, jawatan baru yang akan diwujudkan di bawah undang-undang yang dicadangkan itu.

Jawatankuasa ini menyasarkan pelaksanaan penuh PDEA pada pilihan raya umum ke-15, tetapi bagi pilihan raya umum ke-14, ia menyasarkan untuk menghendaki identiti penyumbang politik didedahkan kepada pejabat pengawal.

Share This:




Berita Bertarikh pada 15 April 2017 10:52 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]