Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Cadangan gugur kes Guan Eng ada unsur politik

21 MEI: Cadangan menggugurkan tuduhan rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang kini menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempunyai unsur campurtangan politik.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA,Datuk Seri Ti Lian Ker dalam satu kenyataan hari ini berkata, proses undang-undang wajar dihormati dan dipatuhi.

Ti Lian Ker

“Keadilan mesti dilaksanakan apabila tiba masanya. Kedua-dua institusi peguam negara dan badan kehakiman mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka tanpa sebarang bentuk gangguan.

“Sekiranya ahli-ahli politik mula memberikan arahan tertentu kepada institusi-institusi ini, maka kita tidak ada beza dengan apa kita yang dulu apabila kita mendakwa berlaku campur tangan politik.

“MCA menggesa kerajaan Pakatan Harapan telus dan mengelak daripada mencampuri atau memberikan tekanan politik ke atas institusi yang ditugaskan untuk melaksanakan dan mendukung undang-undang,” kata Lian Ker.

Beliau merujuk penangguhan perbicaraan Guan Eng  dan ahli perniagaan Phang Li Koon, yang dijadualkan bermula hari ini selepas tertuduh mencari representasi baru dengan peguam negara yang baru.

AG baru dijangka akan dilantik pada bulan Julai bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini diminta bercuti selama sebulan.

Perbicaraan Lim yang berlangsung selama dua hari pada Mac, ditangguhkan sehingga hari ini kerana pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pada 30 Jun tahun lalu, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Lim, 56, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, iaitu ketua menteri Pulau Pinang, untuk mendapatkan keuntungan bagi diri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 May 2018 6:12 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: