Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Cadangan UDA Holdings bangunkan tanah rizab diberi perhatian

17 FEB: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengambil perhatian terhadap cadangan UDA Holdings Bhd. bagi membangunkan tanah rizab Melayu di negara ini.

Menurut kenyataan kementerian tersebut, pihak UDA Holdings baru-baru ini telah mencadangkan supaya kerajaan menilai dan meneliti semua tanah rizab Melayu supaya nilainya dapat dinaikkan.

Cadangan tersebut meliputi perkara memecahkan lot bagi tanah rizab Melayu untuk pertanian supaya pecahan lot boleh dimiliki banyak nama, mewujudkan kelonggaran dari segi syarat pemilikan dan membenarkan tanah rizab Melayu disewakan kepada bukan bumiputera bagi tujuan kebolehpasaran.

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, perundangan berhubung tanah rizab Melayu adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Berdasarkan semakan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang mengguna pakai Enakmen Rizab Melayu (FMS Cap 142) sementara Kelantan, Kedah, Perlis, Johor dan Terengganu turut mempunyai Enakmen Rizab Melayu masing-masing. Tiada Enakmen Rizab Melayu di Pulau Pinang dan Melaka,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Kanun Tanah Negara 1965 tidak menghalang tanah rizab Melayu kategori pertanian untuk dibangunkan melalui proses pecah bahagi kepada lot-lot yang lebih kecil bagi meningkatkan nilai tanah orang Melayu. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri.

Mengenai cadangan mewujudkan kelonggaran dari segi syarat pemilikan pula, menurut kenyataan itu, Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan telah mentakrifkan ‘Tanah Simpanan Melayu’ sebagai tanah yang disimpan untuk diberi hak milik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi negeri tempat terletaknya tanah itu.

‘Orang Melayu’ termasuklah mana-mana orang yang di bawah undang-undang negeri tempat dia bermastautin, dikira sebagai orang Melayu bagi maksud perizaban tanah.

“Bagaimanapun, terdapat perbezaan taksiran ‘Melayu’ bagi maksud dalam Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri. Dalam hal ini, mengenal pasti siapakah yang diiktiraf sebagai ‘Melayu’ dalam setiap Enakmen Rizab Melayu adalah penting bagi mengenal pasti siapakah yang dibenarkan berurusan dengan tanah rizab Melayu ini.

“Kelonggaran juga tertakluk kepada peruntukan yang ada dalam Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing,” katanya.

Sementara itu menurut kenyataan tersebut, kementerian turut menyambut baik cadangan supaya kerajaan membenarkan tanah rizab Melayu dipajakkan kepada bukan Melayu.

“Bagaimanapun, pada masa ini, perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan memandangkan terdapat halangan dalam Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri yang menyekat sebarang pelupusan sama ada dalam bentuk pajakan atau pindah milik kepada bukan Melayu dan memerlukan pindaan kepada Enakmen Rizab Melayu tersebut.

“Namun begitu, kaedah penyewaan tanah boleh diguna pakai tetapi tertakluk kepada tempoh tidak melebihi tiga tahun selaras peruntukan yang dinyatakan dalam Kanun Tanah Negara 1965 dan peruntukan Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 February 2018 10:14 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: