Kategori Berita Utama

Calon PRU14: MCA beri amaran tegas hentikan sabotaj parti

12 JAN: MCA mengingatkan ahli dan pemimpin partinya supaya menghentikan tindakan mensabotaj parti menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Lembaga Disiplin MCA, Tan Sri Chor Chee Heung, berkata mereka yang berbuat demikian berdepan tindakan digantung dan dipecat dari parti.

Katanya, ingatan itu selari dengan ketetapan dibuat menerusi Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sebelum ini, yang mahukan supaya semua parti meningkatkan tahap disiplin ahli dan pemimpinnya.

“Tidak kira sabotaj imej MCA atau calon MCA atau parti lain dalam BN. Jika ada bukti, jawatankuasa tatatertib akan mengambil tindakan cukup tegas. Kita tidak akan tunggu sehingga PRU.

“Jika dapat kes yang sudah terbukti, kita dengan serta merta akan ambil tindakan ikut perlembagaan parti. Apa saja tindakan yang boleh menjejaskan nama MCA dan BN,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Lim Si Cheng.

Beliau berkata, pemimpin yang tidak dicalonkan mesti akur dengan keputusan parti dan tidak melakukan tindakan yang boleh mengundang masalah kepada parti.

“Kalau ahli MCA yang mahu jadi calon, jika dia tidak dipilih, dia kena akur bagi memastikan calon parti atau yang mewakili BN menang,” katanya.

Chee Heong menjelaskan, setakat ini belum ada kes sabotaj dilaporkan, namun partinya sentiasa memantau.

“Sebab itu kita beri amaran awal supaya ia menjadi peringatan kepada ahli parti. Kita tidak mahu kes sabotaj ini ditangani selepas PRU seperti sebelum ini, sebaliknya mahu ia diselesai menjelang PRU,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 January 2018 12:50 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: