Kategori Berita Utama

Cari MH370 keutamaan White House, India pula sambung bantuan

20 MAC : Presiden Barack Obama berkata pencarian pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370 yang hilang adalah satu keutamaan kepada Amerika Syarikat (AS) dan menawarkan apa saja bantuan termasuk FBI.

Dalam ulasan pertamanya di depan kamera berhubung misteri kehilangan MH370, Obama turut menyampaikan rasa simpati serta doa kepada ahli keluarga penumpang pesawat tersebut.

“Saya ingin memberi jaminan kepada mereka bahawa kami menganggap perkara ini sebagai keutamaan tertinggi,” katanya dalam temubual bersama stesen televisyen Dallas, KDFW di White House.

Radar MH370 “Kami sudah menyediakan setiap sumber yang ada untuk membantu proses pencarian itu. Wujud kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia,” katanya.

Obama berkata, FBI, NTSB dan agensi serta pegawai yang berkaitan penerbangan bersedia membantu siasatan itu.

Sementara itu, India yang menangguhkan operasi mencari dan menyelamat kini bersiap sedia untuk menggerakkan semula pesawat rondaan maritim jarak jauh P-81 dan pesawat C-130J Super Hercules bagi meneruskan pencarian pesawat MH370.

Pegawai kerajaan berkata Malaysia telah membuat permohonan untuk India  membantu dalam pencarian di kawasan baharu menjangkau 5,000 batu nautika ke arah selatan dari Jakarta, Indonesia.

“Sebuah pesawat P-8I telahpun diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di stesen udara Arakkonam di Tamil Nadu sementara sebuah lagi pesawat C-130J ditempatkan di Port Blair,” kata seorang pegawai seperti dipetik oleh akhbar ‘The Times of India’.

“Kedua-dua pesawat yang boleh terbang jarak jauh, boleh membuat imbasan di kawasan-kawasan tertentu menggunakan radar, elektro-optik dan peralatan penjejak infra-merah.

Pesawat itu akan memulakan operasi mulai pagi Khamis yang meliputi kawasan sepanjang 5,000 batu nautika dari Jakarta ke Antartika.

Dalam pada itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan siasatan terhadap insiden kekecohan melibatkan keluarga penumpang MH370 warga China di Hotel Sama-Sama pada petang Rabu.

Selain menyatakan kekesalan dengan kejadian itu beliau juga merayu agar semua pihak memahami bahawa Malaysia sudah memberikan yang terbaik untuk merungkai misteri kehilangan MH370.

 

Menurut laporan, mereka tiba dan meluru masuk bilik sidang media itu jam 4.45 petang.

 

Kumpulan itu membuka sepanduk bertulisan Mandarin sambil menangis dan meraung-raung. Ada di antara mereka yang melaung-laung meminta ahli keluarga mereka yang masih hilang dikembalikan sebelum dibawa keluar pihak keselamatan 10 minit kemudian

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 March 2014 11:15 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: