Kategori Berita Antarabangsa

China larang pelajar hadiri kelas agama

19 JAN: Sebuah daerah majoriti Islam di barat China melarang kanak-kanak menghadiri kelas agama semasa cuti musim sejuk, kata biro pendidikan dalam notis yang dipaparkan secara dalam talian selepas pihak berkuasa  China meningkatkan kawalan terhadap pendidikan agama.

Memetik laporan Reuters, pelajar sekolah di daerah Linxia di wilayah Gansu, yang diduduki etnik minoriti Islam Hui, dilarang memasuki bangunan agama semasa cuti.

Kaum muslim di China (foto hiasan).

Pelajar juga tidak boleh membaca kitab suci di dalam kelas atau bangunan dan semua pelajar dan guru harus mematuhi notis dan berusaha memperkuat ideologi dan propaganda politik.

Bagaimanapun Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan notis berkenaan.

Seorang lelaki yang menjawab telefon di biro pendidikan Linxia dilaporkan memutuskan talian apabila wartawan Reuters bertanya mengenai notis berkenaan.

Peraturan baharu mengenai hal ehwal agama dikeluarkan pada Oktober tahun lalu dan akan berkuatkuasa pada Februari ini, bertujuan untuk meningkatkan pengawasan terhadap pendidikan agama dan menyediakan peraturan lebih besar terhadap aktiviti keagamaan.

Pada musim panas lalu, larangan Sunday School (Kelas Hari Ahad) diperkenalkan di tenggara bandar Wenzhou, yang dikenali sebagai “Baitulmaqdis China” kerana penduduk Kristiannya yang ramai, tetapi ibu bapa terbabit masih menjumpai cara untuk mengajar anak mereka mengenai agama Kristian.

Undang-undang China secara rasmi memberi kebebasan beragama untuk semua rakyat tetapi peraturan terhadap pendidikan dan perlindungan golongan minoriti juga menetapkan agama tidak boleh digunakan untuk menghalang pendidikan negara atau untuk “memaksa” anak-anak mempercayainya.

Pihak berkuasa di bahagian bermasalah China, seperti wilayah barat Xinjiang, kediaman kepada kaum minoriti Islam Uighur yang berbahasa Turki, melarang anak-anak menghadiri kelas agama.

Tetapi masyarakat Islam di wilayah lain jarang berhadapan sekatan ketat sedemikian.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 January 2018 2:37 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: