Kategori Berita Utama

COMANGO: Sediakah PAS duduk semeja dengan UMNO?

28 NOV: Tindakan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia Malaysia (Comango) yang membawa laporan berhubung hak asasi manusia ke Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva sepatutnya mencelikkan mata semua pihak, khususnya umat Islam di negara ini untuk bermuhasabah, dan seterusnya kembali bersatu.

Tuntutan Comango secara spesifiknya mendesak Seksyen 377A Kanun Keseksaan berkaitan jenayah liwat dan enakmen-enakmen jenayah syariah yang bertujuan menyekat gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), murtad serta penyebaran Syiah dimansuhkan.

Semua tuntutan itu boleh diibaratkan bagai “cacing sudah naik ke mata” kerana ia jelas menunjukkan bahawa semua NGO berkenaan tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan artikel 3(1) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan selain mencampuri urusan agama serta mencabar kemuliaan umat Islam.

Dalam isu ini, apakah PAS bersedia menyahut cabaran ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar supaya parti itu menjadikan isu Comango ini sebagai titik permulaan kerjasama dengan UMNO memperjuangkan isu-isu berkaitan Islam?

HISHAMUDDIN

HISHAMUDDIN

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata ini masa terbaik kedua-dua pihak menunjukkan keikhlasan masing-masing.

“Ini mungkin peluang terbaik untuk kita ketepikan pertimbangan politik kita duduk semeja, memikirkan di mana kita hendak bawa umat-umat Islam orang-orang Melayu ini pada masa yang akan datang berdepan dengan dunia tanpa sempadan, dalam dunia yang nilai menjadi gadaian, dan ajaran agama yanmg paling asas boleh dibahaskan. Kalau dahulu tidak tergamak kita.”

Menurutnya, perkara yang cuba dijuarai Comango dilihat mencabar kedudukan Islam di negara ini dan ia boleh menjadi asas kepada perbincangan di antara dua parti itu.

“Kena tanya sendirilah apa sebenarnya peranan mereka kerana kita kena jawap bukan sahaja kepada ahli-ahli kita, kepada pengundi-pengundi kita. Akhirnya mereka juga mesti menjawab kepada Allah swt sebagai pemimpin dan sebagai ahli sebuah parti yang meletakkan agama sebagai asasa perjuangan mereka,” kata Hishamuddin.

Sementara itu Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, usaha COMANGO untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh agama dan budaya masyarakat ditolak PAS.

“Usaha mereka untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh agama dan budaya masyarakat kita itu kita tolak. Jadi apa yang BN sebut itu adalah isu bersama. Sama ada Speaker tolak untuk dibahaskan atau tidak itu isu Parlimen,”

Noh berkata usul beliau untuk mengutuk  Comango yang ditolak untuk dibahaskan di Dewan Rakyat Rabu adalah langkah pertama untuk muzakarah di antara PAS dan Umno.

“Isu muzakarah ini adalah isu yang berbangkit dengan hal-hal umat Islam dan hal perpaduan negara kita. Jadi oleh kerana itu kita (PAS) terbuka dalam hal ini. Yang saya bimbang ialah muzakarah ini dipolitikkan. Jadi hal-hal yang baik ini jika dipolitikkan ia jadi tidak eloklah,” kata Nik Mohamad Abduh

Beliau menegaskan demikian dalam satu sidang media di lobi Parlimen selepas usulnya itu ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee atas alasan ia tidak perlu disegerakan.

Noh pada sidang media itu mencadangkan isu tuntutan Comango dijadikan sebagai topik utama muzakarah Antara PAS dan UMNO setelah wakil rakyat dari kedua-dua parti lantang mengecam tuntutan NGO berkenaan.

NOH OMAR...usulnya ditolak

NOH OMAR…usulnya ditolak

Noh juga menuntut satu siasatan segera dijalankan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkenaan status 54 NGO itu, kerana beliau difahamkan ada yang tidak berdaftar.

Selain itu beliau mahu kerajaan menyiasat individu di sebalik pertubuhan yang jelas membuat tuntutan bercanggah dengan Islam serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee menolak usul yang dibawa Noh itu kerana kerajaan telah mengambil maklum dan meneliti semua cadangan yang dikemukakan kepada Malaysia semasa proses semakan daripada Majlis Hak Asasi Manusia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva 28 Oktober lepas.

“Oleh yang demikian, saya memutuskan bahawa usul ini ditolak di bawah perkara 18(2) Peraturan Mesyuarat 18(1),” katanya selepas selesai sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Comango  terdiri  gabungan 54 badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, antara lain menuntut kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragama dengan menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan keIslaman seseorang itu.

Selain itu, Comango menuntut menghapuskan undang-undang jenayah syariah yang sedang berkuat kuasa; mengiktiraf hak pengamal lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT); menghalalkan perzinaan atas alasan kedua-dua pihak rela dan bersetuju.

Semoga isu Comango ini membuka mata PAS untuk duduk semeja dengan hati terbuka demi mempertahankan kedudukan agama Islam.-BNBBC.MY

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 November 2013 4:09 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: