Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Cuti bersalin bapa panjang, mampu tingkatkan kebahagiaan negara

27 NOV: Cuti bersalin yang lebih lama untuk bapa bukan sahaja memberi impak positif kepada sesebuah rumah tangga tetapi akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bahagia untuk didiami.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, usaha menambah cuti bersalin untuk bapa tidak boleh dilihat secara negatif oleh sesebuah organisasi majikan, sebaliknya akan menyumbangkan peningkatan indeks kebahagiaan dunia kepada negara.

“Pada masa ini indeks kebahagiaan dunia menunjukkan 6.084 mata, Malaysia di tangga ketiga di belakang Singapura dan Thailand bahawa rakyatnya bahagia menjalani kehidupan.

“Malaysia di tangga 42 di peringkat dunia, dan tidak mustahil indeks kebahagiaan ini akan meningkat jika cuti bersalin lebih panjang diberikan kepada bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Bajet 2018 untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat, Isnin.

Justeru itu, Irmohizam menyokong langkah kerajaan untuk menambah baik pemberian cuti bersalin yang lebih lama kepada bapa dalam usaha mewujudkan suasana lebih bahagia bukan sahaja kepada sesebuah keluarga, malah untuk kecerian masyarakat Malaysia itu amnya.

“Pada masa ini saya difahamkan cuti bersalin untuk bapa diberikan selama seminggu.

“Kita jangan memandangkan perkara ini sebagai negatif daripada segi produktiviti kerja, tetapi apabila cuti diberikan lebih panjang lagi iaitu selama dua atau tiga minggu, ia akan meningkatkan indeks kebahagiaan dunia terhadap rakyat di Malaysia.

“Jadi saya sokong usaha kerajaan untuk memberi cuti bersalin lebih panjang kepada bapa,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 November 2017 6:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: