Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

‘Cyber games’ diangkat sebagai sukan baharu negara

14 JAN: Permainan video atau e-sukan akan diangkat sebagai industri baharu di negara ini ekoran popularitinya yang semakin meningkat dalam kalangan generasi millennial serta selari dengan hasrat kerajaan menyediakan struktur ekonomi berorientasikan orang muda dan digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, permainan video kini semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa dan malah dijadikan satu daripada acara dalam temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia selain sedang diusaha untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik.

Jelasnya, kerajaan akan mendokong segala usaha untuk memastikan permainan video berkembang dengan sihat termasuk melahirkan atlet-atlet e-sukan yang boleh membawa nama negara di peringkat dunia.

“Generasi saya mungkin tidak faham apa yang disukai sangat dengan permainan video ini, namun hal itu tidak semestinya kerajaan mengabaikan perkembangannya kerana kita tetap perlu mengadaptsi perkembangan digital,” katanya ketika merasmikan Malaysia Cyber Games 2018 hari ini.

Tambah Najib, menjadikan e-sukan sebagai industri penting untuk membuka peluang untuk negara dan rakyat menjana pendapatan, agar aktiviti itu tidak menjadi hiburan semata-mata.

Menurut beliau, kerajaan sangat prihatin dengan kehendak rakyat dan disebabkan itu penganjuran MCG18 ini akan tetap disokong.

Dalam pada itu, Najib turut mengiktiraf MCG sebagai persatuan mewakili industri e-sukan di negara ini.

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memenuhi keperluan generasi muda dan tidak hanya melihat e-sukan sebagai gaya hidup.

“Pendek kata kita mesti memberi fokus terhadap masa depan, berorientasikan golongan muda dan memahami perkembangan digital. Kita adalah kerajaan yang mewakili generasi muda,” katanya.

Najib berkata, kerajaan sentiasa menerima perubahan dan ia membawa kepada pengenalan Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kita menerima perubahan, ekonomi digital dan revolusi digital. Inilah gaya hidup orang muda hari ini,” katanya.

MCG18 disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan edisi pertama di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Disember 2015 menerima sambutan hangat lebih 7,000 pengunjung.

Hadir sama pada program itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Pengasas Malaysia Book of Records (MBR), Tan Sri Danny Ooi dan Presiden Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Najib turut menyaksikan pengiktirafan MCG18 dalam Malaysia Book of Records sebagai penganjuran permainan video terbesar di negara ini dengan mempertandingkan sembilan permainan video dan menerima 2,062 peserta.

MCG18 dianjurkan Suara Anak Muda 1Malaysia dan Briged Kesatria dengan kerjasama Tune Advertising Sdn Bhd menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM300,000.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 January 2018 4:03 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: